Pages

Saturday, August 14, 2010

AL QAEDATUL SULBAH: KEPIMPINAN DALAM DAKWAH

AL QAEDATUL SULBAH: KEPIMPINAN DALAM DAKWAH

Yang dimaksudkan al Qaedatul Sulbah ialah suatu golongan yang dianggap sebagai core group, first liner ataupun barisan kepimpinan yang mesti lahir melalui satu proses penapisan yang rapi iaitu tapisan pentarbiahan ilmu, kefahaman dan amali.

Pembentukan golongan ini adalah suatu tuntutan kerana ia merupakan sunnah yang pernah berlaku sebelumnya. Contohnya ialah peranan golongan ansar dan muhajirin. Mereka inilah yang dianggap sebagai golongan al Qaedatul Sulbah, kerana merupakan golongan yang banyak membantu Rasullullah di dalam perkembangan dakwah islam di Madinah khususnya di dalam soal pentarbiahan masyarakat hatta di dalam soal yang memerlukan pengorbanan harta dan nyawa.

Sikap mereka sebagai core group amat jelas kalau dilihat di dalam peristiwa perang Hunain. Kebanyakan daripada tentera Islam khususnya yang baru memeluk Islam tidak istiqamah (konsisten) berbanding dengan golongan ansar dan muhajirin yang tetap berdiri teguh bersama Rasulullah apabila timbul kekecohan di dalam perang tersebut.

Kesimpulan awal yang boleh kita buat di sini ialah, suasana dan keadaan yang ada di sekarang ini menuntut kepada perencanaan yang kemas dan rapi di dalam gerak kerja dakwah . Antara tindakan awal ialah membentuk golongan al Qaedatul Sulbah yang berfungsi seperti berikut:

1. Tapak yang kukuh untuk merencana dan merancang.
2. Kumpulan yang penting yang akan bertindak sebagai enzymes di dalam
skop dakwah dan pentarbiahan .
3. Tulang belakang dalam jamaah Islam dan masyarakat Islam.
4. Golongan yang senantiasa konsisten, iltizam dan istiqomah terhadap dasar
dan manhaj yang benar.

Antara menifestasi penting daripada al qaedatul sulbah ini ialah perilakunya penyediaan kepimpinan dalam dakwah islam;

A: Kepimpinan Dakwah Islam.

a. Ratapan jiwa seorang pemimpin

Daripada surah Maryam ayat 4 hingga 6 :-

قَالَ رَبِّ إِنِّي وَهَنَ الْعَظْمُ مِنِّي وَاشْتَعَلَ الرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنْ بِدُعَائِكَ رَبِّ شَقِيًّا(4)وَإِنِّي خِفْتُ الْمَوَالِيَ مِنْ وَرَائِي وَكَانَتِ امْرَأَتِي عَاقِرًا فَهَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا(5)يَرِثُنِي وَيَرِثُ مِنْ ءَالِ يَعْقُوبَ وَاجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا(6

Terjemahannya: “Ia berkata; ya tuhanku sesungguhnya tulangku telah lemah, dan kepalaku telah dipenuhi uban dan aku belum pernah kecewa di dalam berdoa kepaa engkau, ya tuhanku. Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap keturunan di belakangku nanti sedangkan isteriku mandul. Oleh kerana itu, kurniakan langsung daripadaMu seorang keturunan yang akan mewarisi aku dan keluarga Yaakob dan jadikanlah ia, ya tuhanku seorang yang engkau redhoi”.

Demikian bunyinya ratapan jiwa nabi Allah Zakaria, seorang nabi seorang pemimpin tatkala ia melihat kekuatannya kian sudah berkurangan. Beliau khuatir mengingatkan nasib umatnya apabila beliau sudah tidak ada lagi. Maka doa yang diratapkan oleh jiwa yang soleh daripada nabi Allah Zakaria itu sebenarnya patut jadi ratapan jiwa kita juga yang memegang amanah pimpinan ummah dalam apa lapangan sekalipun hatta untuk kepentingan maslahah dakwah dan ummah.

b.Pewaris pimpinan

Pimpinan adalah tenaga penyambung yang menjadi syarat mutlak kelanjutan perjuangan. Bukan menjadi kemegahan yang hakiki bagi seorang pemimpin kalau pimpinannya berjalan dengan baik sehingga nama dan organisasinya berpengaruh di hati rakyat tetapi di satu saat, manakala beliau sudah tidak ada lagi kesemuanya menjadi kacau bilau, umat yang dipimpinnya menjadi panik dan bingung.

Ini adalah faktor utama kita mesti membina golongan al Qaedatul Sulbah khususnya kepimpinan dakwah Islam.

Allah memperkenankan nabi Allah Zakaria, dan untuk melayakkan nabi allah Yahya sebagai pemimpin, Allah memberikan bekalanNya kepada Yahya seperti kisah di dalam surah Maryam ayat 12 hingga 14 mafhumnya: Wahai Yahya ambillah kitab ini dengan sepenuh hati, dan kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih kecil. Dan kami jadikan ia orang yang mempunyai rasa belas kasihan yang mendalam kepada manusia dari sisi kami, dan orang yang bersih daripada dosa dan adalah ia seorang yang taqwa dan ia adalah seorang yang berbakti kepada kedua ibu bapanya dan ia bukanlah seorang yang sombong dan penderhaka.

Ada 8 perkara yang dibekalkan kepada nabi Allah Yahya yang akan dijadikan sebagai pegangan semasa melakukan tugas kepimpinan sepeninggalan ayahandanya nabi Allah Zakaria. Maka pegangan inilah yang perlu ada dalam kepimpinan core group bagi mencapai sasaran dakwah kerana kita meyakini bahawa perjuangan yang kita lakukan ini adalah lanjutan daripada perjuangan nabi-nabi dan rasul-rasul yang terdahulu untuk menegakkan kalimah Allah s.w.t.

Oleh itu, kita yang ingin menjadi ahli warisan mereka yang ingin menjadi pemimpin dakwah Islam pula perlulah mempedomani garis-garis yang telah dibentangkan di dalam ayat di atas seperti huraian berikut:


1.b. Bersungguh-sungguh memegang amanah dan mengembangkan al Kitab.

Terjemahan al-Quran: “Wahai Yahya ambillah kitab itu
dengan bersungguh-sungguh”.

Setelah Yahya sampai kepada umur yang dapat berbicara, berfirman Allah kepadanya supaya ia mengambil kitab at Taurat yang menjadi nikmat Allah s.w.t kepada bani Israel. Allah s.w.t. menyuruh Yahya mempelajarinya, mengamalkan isinya dan kemudian menyampaikannya kepada ummatnya dengan bersungguh-sungguh. Ayat ini memberi ingatan kepada kita bahawa di dalam perjuangan, syarat utama ialah hendaklah memegang teguh pada prinsip sebagai pokok dan aqidah. Untuk memilih jamaah, lihat dasarnya terlebih dahulu, apa matlamat dan visinya. Kita memasuki sesuatu jamaah semata2 kerana panggilan tauhid ubudiah yang ada di dalam jiwa kita sebagai mukmin.

Orang yang memasuki jamaah tanpa memahami dan berpegang teguh kepada aqidah perjuangannya tidak akan menguatkan jamaah tetapi sebaliknya menjadi dedalu di dalam kehidupan jamaah dan dakwah.

Perjuangan yang beraqidahkan Islam akan membentuk seorang yang tahan uji di dalam sebarang kesulitan dan ini juga akan meyakinkan orang lain kepada perjuangan Islam. Begitulah sebaliknya kerana orang yang tidak mempunyai apa-apa tidak akan dapat memberikan apa-apa. Inilah antara syarat terpenting kepada golongan al Qaedatul Sulbah.

2.b. Ilmu dan Hikmah

Maksud ayat al-Quran: “Dan kami berikan kepadanya hikmah selagi ia masih kanak-kanak…”

Yahya menerima hikmah yang dalam ketika ia masih kecil lagi. Sebab itu kita juga perlu membina anak-anak kita sejak daripada kecil lagi sebagai suatu proses pentarbiahan agar mereka ini benar-benar mempunyai hikmah dan ilmu di dalam perjuangan Islam.

Hikmah maksudnya mengetahui rahsia setiap sesuatu dan faedahnya. Dengan kata lain seorang pemimpin perlu mempunyai ilmu yang mendalam khusunya dalam persediaan bekalan agama, politik, kemasyarakatan dan lain-lain.

Al Qaedatul Sulbah dalam keadaan sekarang memerlukan kepada ilmu yang dalam, kekuatan analisa yang konstruktif, political reading yang kritikal dan motivasi dakwah yang advance.

3.b. Mempunyai Sifat Belas Kasihan

Maksud ayat al-Quran: “Dan kami jadikan dia orang yang mempunyai rasa belas kasihan yang mendalam kepada manusia dari sisi kami”.


Pemimpin adalah seperti yang pernah disebut di dalam satu pepatah arab:

“Ketua satu kaum itu adalah khadam kaum itu.”

Mereka ini kadang-kadang terpaksa bersifat seperti lilin, membakar dirinya dan orang lain yang dapat cahaya. Inilah yang perlu ada pada seorang core group yang cekap di dalam sebarang pengendalian.


4.b. Bersih daripada segala pencemaran dosa.

Mafhum ayat : Dan orang yang bersih daripada dosa.

Inilah watak yang perlu ada kepada seorang pemimpin agar ia dapat menjadi tauladan kepada pengikut dan ummat. Ia juga mesti menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu yang boleh mencemarkan nama baik jamaah. Sifat taat dan ikhlas perlu ada pada mereka.

5.b. Taat, Taqwa dan Bersisiplin.

Mafhum ayat : “Dan adalah dia seorang yang taqwa”.

Yahya adalah seorang nabi yang ikhlas mengerjakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang ditegah, tidak pernah terlintas di hatinya untuk melakukan maksiat. Taqwa membawa manifestasi taat. Tanpa kekuatan ketaatan, maka ini bermakna seseorang itu tidak berdisiplin. Ketiadaan disiplinlah yang selalunya merosakkan jamaah. Ini yang perlu ada kepada seorang pemimpin. Pemimpin yang tidak berdisiplin boleh menjadi bukti kepada kerosakan dakwah. Ini sering berlaku di Malaysia.

6.b. Berbakti kepada Orang Tua
Mafhum ayat: “Dan ia adalah orang yang berbakti kepada kedua orang tuanya”.

Seorang pemimpin sentiasa menghormati orang tua. Pengalaman orang tua perlu diambil kira. Tarbiah ilmu tidak memadai kalau kita tidak mempunyai tarbiah amal yang kebanyakannya diperolehi agar dapat dipelajari daripada mujahid-mujahid yang terawal.

7.b. Tidak Sombong dan Angkuh

Mafhum ayat: “Dan bukanlah dia seorang yang sombong”.

Yahya bukanlah seorang yang takabbur terhadap manusia. Ia selalu berlaku lembut dan merendahkan diri kepada menusia. Keangkuhan menjadi punca seseorang da’ie mudah dibeli oleh kebendaan dan terpedaya dengan segala janji dan tipu muslihat musuh islam. Kesombongan juga menjadikan seorang itu terlalu degil dalam perbincangan untuk mencari penyelesaian .

8.b. Tidak Pernah Derhaka

Mafhum ayat: “Dan bukanlah dia seorang penderhaka”.

Yahya bukanlah seorang yang menderhakai tuhannya sebagaimana dia tidak menderhakai kepada kedua ibu bapanya. Seorang pemimpin mestilah mempunyai sifat ini kerana kederhakaan akan menjauhkan seseorang itu daripada dasar perjuangan apatahlagi dasar untuk memperjuangkan Islam.

Kesimpulan


حَدَّثَنَا بِشْرُ بْنُ مُحَمَّدٍ الْمَرْوَزِيُّ قَالَ أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ قَالَ أَخْبَرَنَا يُونُسُ عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنَا سَالِمُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَزَادَ اللَّيْثُ قَالَ يُونُسُ كَتَبَ رُزَيْقُ بْنُ حُكَيْمٍ إِلَى ابْنِ شِهَابٍ وَأَنَا مَعَهُ يَوْمَئِذٍ بِوَادِي الْقُرَى هَلْ تَرَى أَنْ أُجَمِّعَ وَرُزَيْقٌ عَامِلٌ عَلَى أَرْضٍ يَعْمَلُهَا وَفِيهَا جَمَاعَةٌ مِنْ السُّودَانِ وَغَيْرِهِمْ وَرُزَيْقٌ يَوْمَئِذٍ عَلَى أَيْلَةَ فَكَتَبَ ابْنُ شِهَابٍ وَأَنَا أَسْمَعُ يَأْمُرُهُ أَنْ يُجَمِّعَ يُخْبِرُهُ أَنَّ سَالِمًا حَدَّثَهُ أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ الْإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ قَالَ وَحَسِبْتُ أَنْ قَدْ قَالَ وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي مَالِ أَبِيهِ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ


Bermaksud: “Masing-masing kamu adalah pengembala dan masing-masing kamu bertanggungjawab terhadap gembalakannya”.
-Hadis nabi-



Wallahu’aklam.

Disediakan oleh:
Abu Shahidah

Thursday, August 12, 2010

Peranan Mahasiswa dalam era kebangkitan Islam

PERANAN MAHASISWA/I
DALAM ERA KEBANGKITAN ISLAM

Firman Allah s.w.t :
ان الدين عند الله الاسلام
فمن يبتغى غير الاسلام دينا فلن قيبل منه وهو في الأخرة من الخاسرين
Penegasan yang telah dinyatakan dalam ayat di atas menunjukkan,bahawa hanya Islam sahaja agama yang diiktiraf oleh Allah sebagai perundangan bagi kehidupan makhluk-Nya di muka bumi ini. Sejak Nabi adam a.s diutuskan hinggalah ke akhir hayat alam ini, bendera Islam akan tetap berkibar riang walau dilanda ribut taufan yang mengganas.

Perjuangan mengibarkan benderanya telah dipelopori oleh jentera anbia’dan mursalin, bermula dari Nabi Nuh a.s sehingga dibangkitkan Nabi Besar s.a.w. Kesinambungan ini tidak pernah pudar atau putus ikatannya walau diganggu-gugat oleh manusia-manusia kufur. Umpamanya sebagai contoh, setelah 1000 tahun lebih manusia kehilangan Nabi Adam a.s maka Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang telah membangkitkan Nabi Nuh a.s untuk menyeru kembali manusia kembali ke jalan yang benar. Begitulah seterusnya hingga berakhirnya zaman perutusan para anbia’.

Justeru itulah kebangkitan ini perlu diisi oleh kita semua sebagai mahasiswa/i yang sudah tentu termasuk dalam golongan yang terpelajar dan telah diberi hidayah oleh Allah s.w.t akan hati-hati kita sehingga mampu menerangi cahaya itu kepada manusia lain yang ingin turut sama merasainya.

Terlebih dahulu, marilah sama-sama kita membicarakan sepintas lalu mengenai kebangkitan Islam ini.

KEBANGKITAN ISLAM SATU PENILAIAN SEMULA

Kebangkitan pada hakikatnya dirujuk kepada satu momentum kesedaran yang tinggi untuk kembali kepada sesuatu kebenaran yang ada pada manusia yang berkait-rapat dengan hati, akal dan pemikiran seseorang.

Justeru itu, ummah kini sedang mengharungi lautan kebangkitan itu yang semakin bergelora arusnya setelah sekian lama memencil diri akibat dilanda taufan kebuntuan, kelalaian serta tertipu dengan nikmat duniawi. Fenomena ini mungkin berlaku setelah terkena peluru dari luar ataupun terkena letupan mercun buatan sendiri. Sebagai konklusinya, dapatlah disimpulkan bahawa kebangkitan ini bermaksud mengembalikan kesedaran dan peringatan selepas bangkit dari belenggu kealpaan.

KEISTIMEWAAN / CIRI-CIRI KHUSUS KEBANGKITAN ISLAM

1. Kebangkitan akal,ilmu dan pemikiran.
Sesungguhnya kebangkitan Islam ini adalah suatu kebangkitan semula terhadap tahap pemikiran yang terbuka sesuai dengan pemahaman Islam yang tulen disebabkan perkembangan ilmu ke serata pelusuk. Ia terus tersebar lantaran kesungguhan mereka yang terlibat dalam melayari bahtera kebangkitan dengan berusaha membina akal mereka agar selari dengan reformasi zaman yang berlaku bertunjangkan manhaj akidah dan kesyumulan syariat Islam.

2. Kebangkitan hati, jiwa, perasaan dan spritual.
Kebangkitan ini berbeza dengan yang lain kerana ia bukan dilahirkan daripada hati atau jiwa yang kosong lagi rosak akan tetapi ia dipimpin oleh generasi pemuda yang memiliki hati yang sentiasa gementar apabila mendengar ayat-ayat Allah,jiwa yang selalu menangis lantaran takutkan siksa Allah di akhirat serta mempunyai perasaan cinta kasih sayang sesama mukmin dan wala’ yang tidak berbelah bagi terhadap keesaan Rabbul Jalil dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Dan sebaliknya pula menaruh kebencian yang mendalam kepada thoghut dan tali barutnya serta tidak cenderung kepada parti-parti syaitan.

Khususiat inilah yang diperlukan untuk melebarkan layarnya bagi merempuh badai yang bergelora, jalan yang berliku lagi bengkang-bengkok serta tembok kejahilan yang terlalu sukar untuk ditembusi. Anasir-anasir yang dungu lagi pasif sudah tentu tidak mampu bahkan tidak berkelayakan untuk mengisi ruangan ini. Kita berhajat kepada pemuda-pemuda yang bermentaliti tinggi serta berjiwa mampan untuk membangunkan insan-insan dan membasuh kesan-kesan luka kealpaan dan kelekaan akibat dibuai khayalan-khayalan yang mempesonakan.

3. Kebangkitan keazaman serta amal yang multazim.
Kebangkitan tidak hanya berkisar dalam konteks ilmu dan pemikiran atau akidah kepercayaan tetapi mengambil kira masalah bekerja bagi membuktikan keimanan tadi berdasarkan ilmu yang diperolehi untuk diterjemahkan ke alam realiti kehidupan agar masyarakat dapat menilai di anatara kebenaran dan kepalsuan.

4. Kebangkitan daripada pemuda yang berpendidikan tinggi.
Kebangkitan ini dipimpin oleh sof pemuda yang berpendidikan tinggi serta mempunyai kreaviti dan kesedaran yang mendalam tentang tanggungjawab terhadap agama mereka. Pemuda harapan bangsa dan agama serta tiang negara bukan calang-calang orang tetapi mestilah sekurang-kurangnya berkelulusan tinggi, institut atau universiti-univesiti.

5. Kebangkitan muslimin dan muslimat seluruhnya.
Antara lain keistimewaan ialah bagi muslimat harapan ummah. Mereka ada kedudukan tersendiri lagi istimewa dalam arus kebangkitan dan perlu berperanan sepertimana muslimin agar keseimbangan terus wujud. Sebagai contoh yang paling mudah ialah mengenai pakaian bagi menutup aurat perempuan, khususnya yang berlaku di negara kita Malaysia.

Dr. Yusof Al-Qardhawi pernah menyatakan begaimana sejarah kita telah membuktikan bahawa pada awal 60-an kita menghadapi 3 bidang utama dalam kehidupan masyarakat yang jauh menyeleweng dari pendidikan Islam :

1. Ekonomi - zakat dan permasalah riba’
2. Maruah wanita Islam - aurat dan peradaban
3. Kesenian - liputan meluas oleh media massa
( Perkara yang pertama dan kedua telah dapat diatasi secara meluas ).
6. Kebangkitan bersifat universal ( عالمية )
Ciri terakhir yang dapat dipaparkan di sini ialah kebangkitan yang dinyatakan sebelum daripada ini bukan hanya berlaku di tanah arab ataupun terbatas di sempadan-sempadan tertentu sahaja ataupun bangsa-bangsa tertentu dan spesis-spesis manusia tertentu sahaja . Akan tetapi merangkumi seluruh pelusuk dunia yang tidak mengira sempadan negara mahupun warna kulit. Di mana sahaja ada orang Islam di situ ada para pejuang kebangkitan Islam samada di barat atau di timur, dunia Islam atau luarnya.

SEJARAH KEBANGKITAN ANTARA PENGGERAK DAN REALITI

Walaupun kita rancak membicarakan tentang kebangkitan akan tetapi masih kedapatan manusia yang berpura-pura jahil lantas mempersoalkan tentang realiti kewujudan dan menafikan keberkesanannya kepada masyarakat.

Berlainan dengan kita sebagai generasi yang berkeyakinan tinggi terhadap kestabilan Islam dan kemampuannya meraih kekuasaan semula, bahawa fenomena ini telah lama terpancar sinarnya bahkan terus mekar dengan bunga-bunganya yang mewangi lagi mempesonakan yang sudah mampu menawan kumbang-kumbang yang berterbangan di taman-tamannya.
Tambahan pula ada yang menerima tetapi berbeza dari sudut kilang pengeluar dan penggeraknya. Dr. Yusor Al-Qardhawi menegaskan ada beberapa pendapat di dalam masalah ini, antaranya :

1) Faktor ekonomi

Mengikut pendapat ini, mereka lebih cenderung kepada faktor ekonomi yang menyebabkan sesuatu itu berlaku. Mauqif ini sudah menjadi adat kebiasaan mereka dalam mencari punca masalah hinggakan mereka berpendapat perutusan para Anbia’ dan rasul-rasulnya juga disebabkan faktor ekonomi dan ini sudah melampau. Hanya mereka yang tidak beriman dengan Allah, rasul, malaikat dan kitab-kitab-Nya sahaja berpendirian sedemikian rupa.

2) Faktor diri sendiri

Pendapat ini mengatakan bahawa kebangkitan ini lahir selepas ummah dikejutkan dengan kesengsaraan akibat perampasan yang telah dibuat oleh kaum Yahudi terhadap tanah air Pelestian pada tanggal 1948. Memanglah pada adat manusia, apabila dilanda kesusahan barulah mahu kembali kepada Allah, berdoa memohon pertolongan hingga Allah sendiri menceritakam keadaan ini memang berlaku kepada manusia yang selalu lupa kepada-nya di dalam kitab Al-Qur’an yang suci.

3) Faktor pemimpin

Golongan kiri di Mesir pernah berpendapat bahawa kebangkitan yang sebenarnya telah dicetuskan oleh hakim atau pemerintah. Yang menghairankan, mereka ini menyangka bahawa mereka bercakap mewakili suara ramai. Akan tetapi hakikat yang perlu diketahui semua ialah jika betul kebangkitan ini lahir dari mulut pemerintah nescaya ia akan berkubur dengan berkuburnya mereka ataupun bila-bila masa sahaja mereka akan bertindak menghapuskannya kembali.

Kesemua itu adalah palsu belaka. Yang paling sohih lagi rojih di sisi ummah ialah, mereka bangkit atas nama Islam dan bangun dari tidur mereka jua untuk Islam. Islam mengajar mereka selalu mengingati peranan yang perlu dimainkan oleh mereka selama hidup di permukaan bumi ini. Banyak nas dan dalil yang dapat mengukuhkan pendirian ini bahkan sejarah para salafussoleh juga turut membenarkannya.

Firman Allah s.w.t :
وممن خلقنا أمة يهدون بالحق وبه يعدلون
Maksudnya : “Di antara orang yang Kami jadikan, ada satu ummat yang dapat petunjuk dengan kebenaran serta berlaku adil dengan kebenaran itu “.

Sabda Nabi s.a.w :
لا تزال طائفة من أمة قائمين على الحق لا يضرهم خالفهم حتى يأتى أمر الله وهم على ذلك

Justeru, kebangkitan ini terus terpancar maka ia bukanlah suatu yang kosong yang tidak memberi apa-apa kesan kepada ummah seluruhnya bahkan ia boleh memberi saham yang terbaik dalam rantaian peribadatan kita kepada Allah s.w.t kerana ia lahir dari sumber yang bertunjangkan akidah dan keyakinan. Oleh sebab itulah, kita boleh saksikan bagaimana perjuangannya terus bertali-arus dan berkesinambungan langsung dari jentera kenabian kepada bahtera khulafa’ Ar-Rasyidin kemudian generasi selepas mereka hingga kepada gerakan Islam di zaman mutakhir ini lantaran tiadanya khilafah yang mengagungkan kalimah Allah di dalam pemerintahan dan sistem masyarakatnya. Mereka terus berusaha membangunkan ummah dan memperbaharui pemahaman Islam agar masyarakat dapat mengerti Islam sepertimana para sahabat r.a memahaminya.

GERAKAN TAKDID / DAKWAH : ASET UTAMA KEBANGKITAN ISLAM

Suatu realiti yang perlu dipercayai oleh kita ialah kebangkitan Islam ini tidak lahir tanpa mangkin yang mencetuskannya atau power ekstrim yang mampu memikul bebanannya sehingga mampu meneruskan kemaraannya yang semakin hari semakin menampakkan sinarnya begitu jelas. Dan inilah yang telah dijanjikan oleh nabi dalam hadithnya ( لا تزال ). Harakah Islamiah ini adalah sebuah angkatan yang sentiasa berperanan serta berani mengemukakan Islam secara syumul selari dengan ciri-cirinya yang tersendiri. Justeru itulah kita sebagai mahasiswa/i berperanan dalam perjuangan yang telah ditinggal oleh mereka yang terdahulu daripada kita. Firman Allah s.w.t :
وما كان المؤمنون لينفروا كآفة فلو لا نفر من كل فرقة منهم طائفة ليتفقهوا في الدين ولينذروا قومهم اذا
رجعوا اليهم لعلهم يحذرون
Maknanya : “ Tiada patut orang-orang yang beriman keluar semuanya ke medan perang. Mengapakah tiada keluar sebahagian di antara tiap-tiap golongan mereka supaya mreka yang tinggal memehami agama dan memberi peringatan kepada kaumnya bila mereka kembali kepada kaumnya, mudah-mudahan mereka itu waspada (takut) “.

MATLAMAT PENUBUHAN HARAKAH ISLAMIAH

1. Membentuk individu muslim dan mengembalikan keperibadian yang tulen kepadanya.

2. Mendirikan daulah Islamiah di dalam setiap negara umat Islam sebagai langkah pertama kepada khilafah yang agung.

3. Menyatupadukan semula umat Islam.

4. Menghidupkan kembali sistem khilafah Islamiah yang telah jatuh.

5. Menundukkan alam seluruhnya di bawah kekuasaan Islam atau dalam erti kata lain mendirikan daulah Islam sejagat.

Secara ringkasnya: Jemaah bertujuan

- Mengabdikan diri kepada Allah

- Melopori kerja amal ma’ruf nahi munkar

- Menyampaikan risalah Islam.

- Menghapuskan fitnah dan kekufuran.

Kewajipan kita sebagai muslim ialah mengenal Islam secara hakiki hingga mampu membezakan Islam dengan thoghut yang patut dibanteras.

Said Hawwa menyatakan : “ Menjadi kewajipan setiap orang Islam untuk memenuhi 2 tuntutan :
1) Menjauhi kesesatan dan para pendokongnya
2) Mengikat diri dengan kebenaran di sebelah pihak muslimin dan beriltizam pula dengan jemaah mereka.

KEWAJIPAN MENGGABUNGKAN DIRI DENGAN JEMAAH

Para mahasiswa/i perlu memastikan diri mereka sentiasa beramal dan bergerak secara berjemaah. Ini adalah merupakan tuntutan dari Islam sendiri.

a) Tuntutan syara’

b) Tuntutan realiti
I) Penggabungan tenaga dan kebolehan
ii) Dakwah bersifat runtuh dan bina
iii) Tribulasi jalan dakwah

c) Kaedah fiqh


PERSEDIAAN MAHASISWA/I SECARA UMUM

Adalah berkewajipan kepada semua mahasiswa/i untuk mempersiapkan diri dari
sekarang agar mereka dapat berperanan dengan sebaik mungkin di masa akan datang. Antaranya ialah :

I) Ilmu dan kemantapannya - membina mentaliti Islam

Mentaliti Islam adalah salah satu daripada teras-teras keperibadian Islam seterusnya merupakan persediaan pemikiran dan konsepsi Islam yang tepat mengenai kosmos (alam semulajadi-cakrawala), manusia dan kehidupan ini. Antara faktor yang diperlukan untuk membentuk mentaliti Islam ialah :

i.i) Kefahaman yang betul terhadap Al-Qur’an dan As-Sunnah yang akan menimbulkan garis-garis asasi bagi kehidupan insan sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

i.ii) Kesedaran yang menyeluruh terhadap matlamat-matlamat pendidikan Islam sebagai alternaif yang mengawal akhlak dan kefahaman sejajar mengikut landasan fitrahnya bagi kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

i.iii) Penguasaan penuh lagi saksama terhadap setiap aspek konsepsi Islam tanpa berlebih kurang ke atas suatu segi tertentu dari yang lain kerana pembatasan kepada satu-satu segi sahaja sering melahirkan fenomena-fenomena dan penyelewengan-penyelewengan yang merbahaya.

Mahasiswa/i juga disarankan agar mencari ilmu dengan semantap yang boleh bagi menangkis serangan pemikiran yang sedang mengganas serta mengganggu kestabilan pemikiran umat Islam. Menuntut ilmu yang digalakkan itu bukan yang membawanya kepada kecenderungan kepada thoghut tetapi memperjuangkan (ilmu) bagi memerangi thoghut yang seumpamanya.

ii) Amal dan keikhlasan - dalam semua hal dan keadaan (kejiwaan Islam)
Kejiwaan Islam adalah teras kedua bagi keperibadian Islam. Malah ia merupakan tayangan lahiriah bagi jalinan pemikiran Islam dan kesannya dalam kehidupan individu. Dengan erti kata lain ilmu yang membuahkan amal itulah yang disebut sebagai menjiwai Islam. Sikap memisahkan dua segi keperibadian ini telah diselar oleh Allah s.w.t dalam firmannya :
وما امروا الا ليعبدوا الله مخلصين له الدين
Maknanya : “ Dan mereka tiadalah diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah serta mengikhlaskan agama bagi-Nya “.

Dan pembuktian ini mestilah selari dengan kaedah kesederhanaan dan keikhlasan mengikut batas-batas perhitungan yang telah digariskan oleh Islam.

iii) Mengenali waqie’
Persiapan yang perlu ada dalam seiap diri mahasiswa ialah mengetahui dan mengenal waqie’ yang sedang melanda kehidupan manusia seluruhnya khususnya musibah yang sedang melanda umat Islam di serata dunia. Justeru itu, kita berkewajipan untuk berusaha mencari ilmu dan mentarbiah diri mengikut batasan keilmuan serta keluar berdakwah demi mencari kesatuan di kalangan muslimin bagi membina kembali kemuliaan Islam yang telah lenyap dari pandangan menusia akibat kelemahan yang berlaku.

حركة تربية علم

Apabila mereka telah melalui rentetan pembentangan ini mengikut susur-galurnya adalah perlu menyatakan keinginan serta memberi ketaatan dan kepercayaan dengan mengikat janji bahawa merekalah yang akan meneruskannya.




Bingkisan dari :
Mohd. Ramizu Bin Abdullah
(B.A (Hons) Syariah Islamiah )
Universiti Al-Azhar.

Wednesday, August 11, 2010

KPIPM 2000-2011


Salam Ramadhan, Ramadhan kareem.

"Membenarkan penggunaan komputer di Rumah Perak dengan bersyarat, dan internet ditempat yang tertentu". Antara usul(dipinda) yang dibincang oleh ahli KPIPM dalam MAT yang baruh melabuhkan tirainya pada 9/8/2010.Ana yakin dan percaya usul ini diterima dengan kenyataan pahit yang harus ditelan oleh semua ahli.

Mengimbau kembali MAT sesi lepas, membenarkan penggunaan ditempat yang tertentu, namun jelas kelihatan penggunanya amat menyedihkan.Apa yang dirisau menjadi bualan dirumah-rumah sewa kini telah melular ke Rumah Perak.

Memperkasakan Hisbah dan tenaga penggerak Biah Solehah yang juga dipersetujui oleh semua ahli.Alhamdulillah, ruang dan peluang yang lebih terbuka diharapkan dapat digunakan sebaik mungkin.

Kini diperingkat Exco yang baru, terpundak dibahu kalian untuk merangka syarat-syarat yang terbaik untuk semua ahli dalam penggunaan komputer dalam Rumah Perak.Diharapkan setiap lapisan ahli KPIPM memberi kerjasama yang terbaik.Terlalu lama kita mempertahankan tidak membenarkan penggunaan komputer dalam syaqah masing-masing.Kita bimbang jangka masa panjang, jika dibenarkan ditakuti Rumah Perak akan menjadi seperti rumah-rumah sewa yang bertaburan di mesir ini.Sekurang-kurangnya Rumah Negeri masih selamat dengan anasir-anasir yang tidak berfaedah.Dengan tidak dinafikan banyak manfaat yang boleh diambil dari penggunaan komputer cara yang baik.

Kini, kita semua telan sesuatu yang pahit yang harus kita redhai dan kita bersedia untuk memperbaiki mana-mana yang lompong.Teman semua boleh lihat dan bertanya sendiri dengan sahabat kalian di rumah KL,PP,Kedah,dan sebagainya rata-ratanya penggunaan kearah yang tidak sepatutnya.Ini yang kita bimbang berlaku di Rumah Perak sekiranya kita tidak menjadi penggerak kepada BIah Solehah.

Dengan adanya memperkasakan Hisbah dan Biah Solehah, ana amat mengharapkan setiap ahli wajib menegur sahabat yang lalai sekali pun pimpinan yang melakukannya.Jangan berkira atau mempersoalkan dibucu mana atau diposisi mana kita berada.Kita sebagai seorang muslim, pantasnya kita merasai memperbaiki diri dan memperbaiki sahabat, teman adalah tanggungjawab bersama.Berjuang dimedan yang kamu yakini.Wassalam

Tuesday, August 10, 2010

Pelajar Tertarik Pada PAS

Pelajar Tertarik Pada PAS kerana Umno Hanya Mampu Berikan Duit, Bukannya Kebenaran PDF Cetak Emel
Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad
MONDAY, 09 AUGUST 2010 16:03

Dakwaan Pengerusi Biro Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membelanjakan puluhan juta bagi melahirkan pemimpin dan penyokong di Mesir adalah satu dakwaan yang terdesak oleh kumpulan yang kecewa kerana tidak mendapat sokongan rakyat.

PAS mengucapkan terima kasih kepada Shabery kerana telah menunjukan kemampuan PAS kepada rakyat yang berjaya menarik sokongan rakyat dalam dan luar negara. Memang melucukan bila beliau sebut puluhan juta kerana rakyat sedia maklum bahawa PAS bukanlah parti yang mengunakan duit untuk membayar pelajar-pelajar itu sokong PAS. PAS tidak pernah menyalurkan sebarang dana bagi para pelajar di Mesir atau dimana-mana negara luar seperti Umno. PAS bukan parti 'politik wang' macam Umno, PAS adalah parti islam yang berteraskan kebenaran Islam. Hakikatnya pelajar dalam dan luar negara tertarik pada PAS kerana Umno hanya mampu berikan duit bukannya kebenaran dan nilai kemanusiaan.

PAS tidak perlu gunakan duit kerana para pelajar luar negara diyakini sebagai golongan cerdik dan mampu membuat pilihan. Diluar negara tiada akta AUKU, jadi mereka tidak terikat untuk menyokong Umno sahaja. Golongan yang cerdik diluar negara dapat menerima cara pemikiran dan dasar-dasar Islam yang dibawa oleh PAS. Mereka tertarik dengan sikap pemimpin PAS dan tidak mustahil mengambil pemimpin PAS sebagai idola mereka.

Pelajar-pelajar Malaysia ke Mesir dan negara Timur Tengah lainnya begitu hampir dengan lokasi sirah perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat, maka tidak menjadi kehairanan jika mereka mudah memahami perjuangan PAS yang berteraskan Islam berbanding dengan Umno yang meminggirkan Islam. Walaupun Kelab Umno mengadakan pelbagai program termasuk membawa Presiden parti mereka ke sana, namun mereka yang cerdik ini tidak terpedaya kerana mereka boleh mengetahui maklumat semasa dinegara ini melalui internet. Kelab Umno telah menaburkan banyak fitnah tentang PAS, namun mereka gagal memperbodohkan golongan yang cerdik ini, sebab itulah Shabery amat kecewa dan mengeluarkan kenyataan tersebut.

Umno kena terima hakikat, kini PAS menjadi pilihan terbaik rakyat kerana kita menjadi pilihan ramai barisan kepimpinan pelapis yang keluar dari universiti tempatan dan luar negara selepas mereka tamat pengajian.

PAS kesal kerana Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri dan beberapa Yayasan negeri mendiskriminasikan para pelajar diluar negara. Mana-mana yang disyaki menyokong PAS atau ibu bapa mereka pemimpin PAS akan disenarai hitamkan dari menerima bantuan. Inilah antara punca mengapa mereka lebih benci kepada Umno dan melihat kepada PAS. Sewajarnya pihak kementerian dan yayasan mengambil inisiatif bagi membantu semua pelajar Malaysia diluar negara tanpa mengira latar belakang kerana organisasi mereka adalah milik rakyat bukan Umno.

PAS juga kesal kerana berdasarkan dakwaan Shabery, Umno telah menubuhkan Kelab-kelab Umno diluar negara yang mana para pelajar adalah ahli-ahlinya. Mujurlah diluar negara tiadanya akta AUKU dan para pelajar boleh terlibat dengan politik dan menyatakan sokongan mereka kepada mana-mana parti.

Ini berbeza di Malaysia, walaupun Umno mengetuai kerajaan dan Kementerian pengajian Tinggi tapi mereka tidak mampu mewujudkan kelab-kelab Umno dalam kampus lantaran kesilapan mereka mewujudkan akta AUKU. Mereka sendiri mengongkong kematangan pelajar. Apakah bezanya pelajar dalam dan luar negara, usia mereka sebaya, mereka sama-sama menuntut di institusi pengajian tinggi, mengapa yang diluar negara boleh berpolitik dan dalam negara diharamkan. Malaysia kini menuju ke arah negara maju, maka akta seperti AUKU ini adalah tidak releven dan oudated.

PAS berjanji akan memansuhkan akta AUKU ini sekiranya rakyat memberikan mandat kepada Pakatan untuk memerintah negara ini dalam Pilihanraya Umum ke-13. PAS tiada halangan jika Umno mahu adakan Kelab Umno di dalam dan luar negara, begitu juga kepada parti-parti lain termasuk PAS kerana mengikut peraturan pendaftaran pertubuhan setiap parti berhak mengajak mana-mana warganegara ini untuk menjadi Ahli dan menubuhkan cawangan. Dan mengikut perlembagaan dan peraturan Pilihanraya, setiap warganegara berhak memilih parti mana yang mereka suka.

PAS menyeru kepada semua penyokong dan kepimpinan PAS dalam dan luar negara untuk mempergiatkan aktiviti menambahkan keahlian, sokongan dan membina kepimpinan pelapis bagi mengantikan kepimpinan Umno yang ternyata gagal menyediakan kepimpinan berkualiti untuk masa depan negara ini. Pimpinan-pimpinan PAS yang ada bersedia untuk turun ke mana sahaja bagi membina lebih ramai pewaris negara yang berkualiti untuk menyanggah kezaliman Umno dari puncak kuasa.

Ust Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

Monday, August 9, 2010

Ramadhann


Ramadhan bulan tarbiah, jihad
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Ramadhan adalah bulan tarbiah dan jihad bagi pejuang-pejuang Islam, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar).

Justeru, katanya kedatangan Ramadhan adalah proses untuk menundukkan hawa nafsu yang sentiasa bergelodak dalam jiwa untuk mengabadikan jihad dan perjuangan.

“Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya.

“Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna hawa nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadat puasa,” ujarnya dalam perutusan sempena Ramadhan 1431H.

Katanya, sejarah jatuh bangun umat dahulu memperlihatkan betapa banyaknya tekanan musuh dan serangan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana musuh menganggap umat Islam akan lemah kerana berpuasa.

“Lihatlah di zaman kita serangan ke atas Iraq, Afghanistan, Bosnia dan lainnya banyak dimulakan dalam bulan Ramadhan.

“Bahkan kalau kita buka lipatan sejarah lampau, sejak zaman Rasulullah hingga zaman tabieen, serangan musuh banyak tertumpu dalam bulan Ramadhan,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Kerana itu, katanya Ramadhan janganlah dijadikan alasan untuk mengabaikan jihad; kerana tarbiah Ramdhan adalah tarbiyah langsung dari Allah, sehingga Allah menyatakan dalam hadis Qudsi yang bermaksud: Puasa kamu untuk Ku, maka Akulah yang akan memberi balasannya.

“Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur sehingga kita bertemu semula Ramadhan,” ujarnya.

Katanya, Rasulullah s.a.w. sering kali berdoa yang bermaksudnya: Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami) sehingga bertemu dengan Ramadhan.

“Betapa besarnya rahmat Ilahi bilamana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan kerana sabda Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.

Maksudnya, jelasnya sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya yakni dosa kecil.

“Panjang umur bukan kerja kita, ia benar-benar hak mutlak Allah; lantaran itu marilah kita mensyukurinya.

“Saya mengambil kesempatan menyeru kepada semua pendokong parti agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian, hidupkan tadarus al-Quran di kalangan ahli usrah,” ujarnya lagi.

Beliau juga menyeru supaya dihidupkan majlis berbuka, tarawih dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada dan ambillah kesempatan menderma terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa.

Ini, katanya kerana Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa iaitu menyediakan makanan berbuka puasa, maka dia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.

Namun, beliau mengingatkan orang yang berpuasa supaya hendaklah memendekkan masa di bazar-bazar Ramadhan, dan jangan membeli juadah untuk berbuka dari tangan-tangan yang fasiq, tangan yang tidak mengerjakan sembahyang, dan tangan yang tidak takutkan Allah.

“Peliharalah setiap suap makanan kerana ia menjadi darah daging, dan darinya menjadi air mani yang melahirkan zuriat kamu.

Kutiplah mutiara keberkatan Ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu,” katanya.