Pages

Monday, October 5, 2009

Analisis polisi Obama terhadap Israel-Palestin

Oleh: Imran al-Malizi

(imran_almalizi@ yahoo.com)


Pada pertengahan Ramadan yang lalu, kami telah dijemput menghadiri satu majlis berbuka puasa anjuran Yayasan al-Quds Antarabangsa- Yaman. Majlis itu turut menghimpunkan tetamu dari negara-negara benua Afrika, Asia dan Balkan yang terlibat sebagai sukarelawan dalam mendokong isu Palestin.

Selepas solat maghrib, Pengarah Yayasan al-Quds di Yaman, Syeikh Abu Aiman Hararah yang berasal dari Gaza menyampaikan ucapan dengan penuh bersemangat. Beliau menegaskan bahawa kekuatan iman dan kesabaran yang ditunjukkan oleh para pejuang dalam peperangan baru-baru ini melayakkan mereka mendapat pertolongan dari Allah Ta’ala.

Beliau juga menceritakan dari penyaksian kaum keluarganya di Gaza , bahawa keajaiban telah berlaku semasa peperangan itu apabila mereka melihat ramai pejuang yang berpakaian serba putih muncul entah dari mana lalu membunuh tentera Israel .

Mereka digelar sebagai ‘hantu’ oleh golongan tentera penceroboh Israel telah menyebabkan ramai tentera Israel ketakutan. Keadaan ini telah memaksa mereka berundur dari bumi Gaza .

Ada satu kata-kata Syeikh Abu Aiman yang memberi kesan kepada kami. Katanya, “Kita hanya bergantung kepada Allah untuk mendapatkan pertolongan dan kemenangan. Bukan dari sesiapa, bukan dari kalangan makhluk, bukan juga dari Obama..!”

Baru-baru ini, Presiden Barack Obama dilaporkan telah berkata bahawa tindakan yang tegas dan segera perlu dilakukan bagi menyelesaikan permasalahan di antara Israel dan Palestin. Kenyataan itu dikeluarkan setelah berbincang dengan perdana menteri Israel , Binyamin Netanyahu dan presiden pihak berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas semasa perhimpunan agung PBB di New York .

Kenyataan seperti ini bukan perkara baru bagi pentadbiran Washington , bukan baru bagi Obama dan juga bukan baru bagi semua presiden Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini. Hakikatnya, tiada sebarang tindakan yang signifikan pernah diambil semenjak lebih 60 tahun penjajahan berdarah ini berlaku.

AS tidak pernah bertegas ke atas Israel biar pun secara jelas para pemimpin regim itu telah mencabuli beberapa siri perjanjian damai. Malah AS sentiasa berdiri teguh bagi memastikan kewujudan negara haram Israel tertegak secara de facto (tanpa segan silu).

Tidak mungkin konflik Israel-Palestin ini dapat diselesaikan dengan mengharapkan ‘wahyu’ dari lidah Obama dan polisinya terhadap Timur Tengah.

Ramai yang meragui pertemuan sisi tiga penjuru itu jika semata-mata berharap AS dengan diwakili Presiden Obama akan terus menjadi orang tengah bagi meleraikan konflik di Asia Barat.

Sikap keras kepala Israel tidak memungkinkan sebarang perjanjian damai mencapai maksudnya dan komitmen AS yang menyokong penubuhan negara haram itu serta pendudukan Yahudi di Tebing Barat juga mencerminkan polisi talam dua mukanya dengan dunia Arab.

Lebih jelas lagi, Mahmoud Abbas bukanlah orang yang paling layak untuk mewakili rakyat Palestin dalam sebarang usaha damai dengan pihak penjajah.

Walau pun beliau dilaporkan enggan bercakap dengan Netanyahu selagi mana perdana menteri Israel itu tidak menghentikan pendudukan Yahudi secara menyeluruh, namun sikap tunduk dan akur Mahmoud Abbas selama ini dianggap sebagai satu pengkhianatan apabila menjual maruah tanah air untuk kepentingan kerusi kuasanya.

Tindakan Netanyahu meluaskan pendudukan Yahudi di wilayah penempatan rakyat Palestin mencerminkan bahawa Israel dengan angkuh telah melanggar semua resolusi PBB, tidak mengiktiraf undang-undang antara bangsa dan apa yang disebut sebagai proses damai.

Netanyahu dalam banyak kenyataannya menegaskan bahawa mereka tidak akan menghentikan proses pendudukan Yahudi di wilayah milik rakyat Palestin. Tindakan ini menyebabkan segala pintu perbincangan menjadi tertutup. Ini kerana isu pendudukan haram Yahudi adalah isu asas bagi segala pertelingkahan.

Bagaimana AS dan sekutunya terus menerus mengecam kerajaan Hamas kerana keengganannya mengiktiraf kewujudan negara Israel, apabila di Tebing Barat tanah rakyat Palestin dirampas, penempatan mereka dirobohkan, tanaman mereka dirosakkan dan penduduknya dibunuh saban hari.

Manakala dunia telah menyaksikan wilayah Gaza yang menjadi kubu pemerintahan Hamas cuba dihanguskan dalam serangan awal tahun ini.

Apakah usaha AS agar sekutunya Israel menghormati peraturan antara bangsa dan tunduk kepada ketetapan Konvensyen Geneva? Apakah wajar Obama dan pentadbiran Washington memaksa Hamas supaya menghentikan penentangan mereka dalam polisi AS yang berat sebelah ini?

Ketika mula mengambil alih pentadbiran AS, Obama perlu melihat isu pendudukan Yahudi ini merupakan penghalang utama bagi proses damai, yang mana perkembangannya menjadikan sebarang usaha di meja perundingan hanya membuang masa.

Ucapan Obama di Kaherah tetap membayangkan bahawa polisi AS tetap komited dalam mendokong Israel . Obama mengajak dunia Arab dan Islam supaya mempertimbangkan keperluan diwujudkan sebuah negara Yahudi dan memetik tragedi holocaust di antara asasnya menurut lipatan sejarah.

Dalam perkembangan berkaitan, Netanyahu dalam ucapannya di perhimpunan agung PBB baru-baru ini menyelar Mahmoud Ahmedinejad, kerana Presiden Iran itu mendakwa bahawa tragedi holocaust itu adalah bohong.

Netanyahu menunjukkan salinan dokumen-dokumen Nazi yang menurutnya memang benar peristiwa penghapusan etnik Yahudi telah dilakukan semasa Perang Dunia Kedua.

Namun itu bukanlah alasan kukuh untuk mewajarkan Israel melakukan kezaliman ke atas bangsa Arab Palestin. Tidak sepatutnya pula Obama turut sama menjustifikasikan alasan ini agar dunia Islam menerimanya.

Sami Abu Zuhri, salah seorang jurucakap Hamas memberi kenyataan kepada Al-Jazeera bahawa ucapan Netanyahu itu penuh dengan pembohongan.

Beliau mengatakan walau pun Netanyahu bercakap tentang kebankrupan moral dan betapa bahayanya tindakan menafikan tragedi Holocaust, secara hakikatnya Israel telah melakukan pembunuhan besar-besaran dalam abad ini apabila mereka melancarkan serangan terhadap Gaza pada Disember dan Januari lalu yang memakan korban lebih 1,400 rakyat Palestin.

Itu belum dihitung peristiwa Deir Yassin, penyembelihan Sabra dan Shatila dan pembunuhan rakyat Palestin semenjak tahun 1948. Ucapan Netanyahu hanya dilihat sebagai tindakan yang kurang wajar bagi mempertahankan kezaliman yang telah dilakukan negara Israel selama ini.

Bagaimana pula penerimaan penduduk Yahudi di Israel terhadap peranan Obama dalam konflik Israel-Arab?

Menurut satu bancian yang dilakukan oleh akhbar Jerusalem Post baru-baru ini mendedahkan hanya 4% sahaja penduduk Israel yang percaya bahawa pentadbiran Obama memberikan sokongan kepada negara mereka.

Ini disebabkan oleh sentiman perkauman menguasai penilaian bangsa Yahudi. Dalam satu tinjauan yang dibuat Al Jazeera, terdapat sebilangan besar penduduk Israel memberikan komen yang kurang sopan terhadap warna kulit Obama dan sikap simpatinya kepada bangsa Arab.

Semuanya itu didorong oleh unsur-unsur perkauman. Malah ramai yang tidak mengetahui latar belakang beliau dan menyangka presiden AS itu sebagai seorang muslim.

Terdapat poster-poster yang ditampal di tepi jalan mengutuk Obama sebagai ‘pembenci kaum Yahudi’. Gambar Obama digambarkan sebagai seorang presiden AS yang berjiwa Arab.

Sememangnya, sikap penduduk Israel itu menjadikan peranan Obama dalam proses damai menjadi persoalan. Tambahan pula, terdapat di kalangan mereka yang berterus terang bahawa Obama bukanlah penyelamat bangsa Yahudi walau pun ucapan Obama di Kaherah sebelum ini dilihat sebagai usaha mencari jalan tengah bagi menyelesaikan konflik.

Bagi kita juga, Obama juga bukanlah watak penyelamat bagi umat Arab. Bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa hanya dapat dibebaskan menurut janji Allah dan RasulNya.

No comments:

Post a Comment