Pages

Wednesday, July 21, 2010

Lebih baik berpecah dari derhaka kepada Allah


Lebih baik berpecah dari derhaka kepada Allah
Harakahdaily

TEMERLOH, 21 Julai: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, itu PAS lebih rela Melayu berpecah dalam mentaati perintah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah.

Dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada Harakahdaily, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang mempersoalkan, apakah apa yang dibuat oleh Umno sekarang untuk perpaduan bangsa atau Islam.

Beliau dipercayai mengulas usaha yang dibuat oleh Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang cuba mengheret PAS agar bersatu dengan Umno atas landasan untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Ia dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan Umno yang sedang karam dan cuba untuk menyeret PAS ke arah permasalahan itu.

"Isu perpaduan Melayu kembali bergema. Kali ini ianya melibatkan usaha golongan agama (Mufti) dan kepimpinan Umno," tulis Tuan Ibrahim dalam kenyataannya.

Pelbagai komentar dan pandangan dari pelbagai pihak diambil bagi menyokong usaha perpaduan Melayu ini; sekaligus seolah-olah sesiapa yang tidak inginkan perpaduan Melayu adalah golongan yang bertindak bertentangan dengan kehendak Islam.

Menurutnya, pelbagai ayat Quran dan hadis bergema bagi menyokong usaha ini.

“Sebagaimana biasa PAS menjadi sasaran bilamana dengan tegas menolak hasrat perpaduan dengan Umno,” katanya.

“Isu besar ialah apakah untuk perpaduan bangsa atau perpaduan Islam. Kalau perpaduan bangsa; kenapa hanya Melayu perlu berpadu, bagaimana bangsa lain dalam negara. Apakah kerajaan suka kalau bangsa lain berpecah yang juga akhirnya melemahkan negara,” kata Tuan Ibrahim, bekas pensyarah pengajian Islam UITM itu.

“PAS Menyatakan dengan tegas kita perlu bersatu di atas landasan yang digariskan oleh Allah; iaitu “Bertolong bantulah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan jangan bertolong bantu dalam perkara dosa dan permusuhan”.

“Lantaran itu PAS lebih rela melayu berpecah dalam mentaati perentah Allah daripada berpadu dalam mendurhakai Allah,” kata beliau.

PAS, katanya, tidak akan merelai perpaduan bagi mendokong tindakan yang bertentangan dengan Islam yang ditaja oleh Umno.

“Mereka sanggup menghalalkan perjudian di atas nama kebajikan dan sukan, serta pelbagai penyelewengan. Di saat rakyat tenderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS,” tambah beliau.

Katanya, di saat rakyat menderita dengan tekanan hidup akibat kenaikan kos hidup, rakyat melihat Umno gagal menjaga bangsa dan agama, maka jangan kegagalan ini disalahkan PAS kerana lebih 50 tahun Umno diberi kepercayaan oleh orang melayu Islam.

“Umno membelakangkan soal perpaduan; kelantan terus ditindas bahkan negeri Pakatan Rakyat terus diserang saban waktu. Tangan kiri mengholor perdamaian, tangan kanan terus menekan dan menindas bangsa sendiri.

“Kami tidak mahu memikul pengkhianatan UMNO kepada agama. 50 tahun negara ini tidak pernah merasai berjalannya hukum Allah secara menyeluruh, riba rasuah, pusat maksiat berleluasa sehingga remaja seolah-olah tiada hala tuju,” katanya.

Rakyat miskin, katanya, terus dibeban dengan kenaikan kos hidup; di waktu yang sama syarikat swasta kroni pemerintah terus menikmati subsidi luas biasa seperti IPP (Independent Power Producers).

Syarikat konsesi tol pula tidak dipotong subsidi mereka bahkan pembaziran terus berleluasa.

“Di saat negara berada dalam situasi paling buruk dalam sejarah dengan pelbagai isu besar spt penyerahan Blok L,M kepada Brunei, Tanah KTM di Singapura, Isu kemerosotan dana Felda yang mengejutkan, serta pelbagai gejala social yang berlaku menuntut rakyat membuat perubahan besar; bukan meminta PAS memikul sama kemungkaran ini,” tegas beliau.

Tuesday, July 20, 2010

Mana pergi subsidi kami

Mana pergi subsidi kami
Dr Asri Zainal Abidin

kalian rampas subsidi kami, entah ke mana dibawa lari
kalian beritahu, wang mesti dicatu, kita menuju maju..
kalian kata: jika tidak, semua menderita, habis harta negara..
kalian berbahasa: bukan barang naik harga, cuma subsidi turun sahaja..

kami orang desa, mungkin tidak pandai kira berjuta-juta..
kami orang kecil kota, mungkin tiada sedemikian harta..
jika kalian tipu sebegitu, biasanya kami diam selalu..
tapi dapatkah kami dibohongi, tentang suapan saban hari?

apalah yang dapat diberitahu anak ke sekolah..?
papa semakin parah..? wang semakin lelah..?
jika semalam berlauk, hari cuma berkuah..
kerana kerajaan kita sedang susah..?
maka subsidi kita terpaksa diserah..
jika semalam kau makan sepinggan, hari ini saparuh
kerana barang makin angkuh, wang papa makin rapuh..
apa yang dapat dibisik pada anak berkopiah ke madrasah..?
makananmu sayang, sebahagiannya sudah hilang..
jika mereka bertanya siapa yang bawa lari
kepada siapa patut kami tuding jari?
janganlah nanti mereka membenci pertiwi..
akibat pencuri harta bumi rakyat marhaen ini..
atau kami jadi insan curang..
kami beritahu; cuma subsidi sahaja yang kurang?
tiada apa yang hilang, nanti akan datang wang melayang..

dengar sini wahai yang tidak memijak bumi!
pernahkah kalian mengintipi kehidupan kami..
pernahkah kalian ngerti makna derita dan susah hati..
kami yang semput bagai melukut di kota kedekut
kami yang bekerja hingga senja di desa yang makin terseksa
bertarung nyawa dan masa, menghitung setiap belanja

pernahkah kau merasa?
rumah bocor yang lanjut usia..
baju dan kasut anak yang koyak
tinggal dalam rumah yang berasak-asak
siang kami sebak, malam kami sesak..

sedangkan kalian manusia angkasa..
istana permata dibina, kereta berjuta dirasa..
elaun di serata, dari isteri sehingga seluruh keluarga..
hidangan istimewa, konon meraya kemakmuran negara..

tapi kami masih di sini..di teratak ini..
dengan lauk semalam..
dengan hidangan yang tidak bertalam..
dengan rumah yang suram..
dengan wang yang hampir padam..

tiada istana lawa..tiada kereta berharga..
tiada layanan diraja..tiada baju bergaya
tiada kediaman menteri..tiada hidangan v.i.p..
tiada persen di sana-sini..tiada bahagian anak dan bini..

tiba-tiba kalian kata: kamilah beban negara..
aduhai celaka bahasa yang kalian guna..
kalian yang belasah, kami yang bersalah..
kalian buat untung, hutang kami tanggung..
kalian mewah melimpah, kami susah parah
kalian hilangkan wang, poket kami yang terbang..
kalian bina istana, rumah kami jadi mangsa..
kalian makan isi, kami dijadikan abdi..

lantas, kalian rampas lagi subsidi..
ke mana wang itu pergi nanti?
jika kalian berhati suci, wajib mengganti buat kami..
jika tidak pun buat gula konon merbahaya
mengapa tidak beras diturun harga?
jika tidak untuk minyak kereta..
mengapa tambang tidak potong sahaja..
tapi entah berapa kali janji..
konon: nanti kami ganti, kami ganti, kami ganti..
hari demi hari, ceritanya pun tidak berbunyi lagi..
kami terus termanggu di sini..
kalian juga yang nikmati..
kami hanya menggigit jari..

kembalikanlah kepada kami harta negara..
jangan hanya kalian sahaja yang merasa..

dr maza
July 2010

Monday, July 19, 2010

Pakat masuk PAS, bukan bersatu dengan Umno

Pakat masuk PAS, bukan bersatu dengan Umno
Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menolak cadangan Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantaraan antara Pas dan Umno demi perpaduan Melayu di negara ini.

PAS bukan angkuh tetapi itulah hakikat yang berlaku pada hari ini, Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu menjadi tempat berteduh.

Parti yang pernah disebut oleh Tun Dr Mahathir sebagai parti yang busuk sampai usus.

Sepatutya Tan Sri kena nasihat supaya ahli Umno keluar beramai-ramai masuk PAS.

Apakah logik PAS diseru untuk bersatu dengan Umno, sedangkan mereka mengalami penyakit yang berjangkit iaitu penyakit barah rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

Apa perlu PAS diajak bersama dengan umno semata-mata kerana hendak menghulurkan balang oksigen kepada umno yang semakin kehilangan sokongan terutama Melayu terpelajar dan Melayu yang celik maklumat.

PAS memahami tahap sokongan orang-orang Melayu sudah berubah, maka umno berdendang dengan irama lama iaitu kuasa melayu terancam. Apabila sudah nyawa di hujung halqum, baru Umno sedar PAS, parti melayu. Sebelumnya umno tidak pernah memandang Pas, malah angkuh dengan kuasa untuk menindas sesama bangsa.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani sebagai seorang mufti, di antara disiplin mufti kena rujuk quran, hadis, ijmak dan qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit barulah boleh keluarkan fatwa.

Barulah fatwa yang dikeluarkan itu dihormati oleh orang ramai. Begitu juga dalam hal politik, sebelum beliau hendak mengeluarkan pandangan biarlah buat kajian dahulu, apakah benar kalau PAS dan Umno tidak bersatu kuasa politik melayu terancam.

PAS suka mengingatkan kepada Tan Sri Harussani tolong lihat dulu keputusan pilihanraya 2008, siapa yang khianat kuasa politik melayu? PAS atau Umno. Macam mana kuasa Melayu boleh hilang kuasa sebab semua kerusi melayu, Pas akan lawan umno, kalau umno kalah, Pas menang, Pas melayu juga. Mana sifir kuasa melayu terancam.

Apakah Tan Seri hanya anggap PAS kuda tungangan DAP dan PKR ketika berkongsi kuasa dalam Pakatan Rakyat. Manakah bukti PAS rugi kepada Melayu dan Islam ketika bersama PR. Tapi PAS boleh buktikan banyak tindakan umno bersama rakan-rakan BN merugikan agama dan bangsa.

Tan Seri lupakah yang menutup surau di Sek 8 Shah Alam itu dibuat oleh Umno pimpinan Khir Toyo, lupakah Tan Seri yang halau orang melayu di Kg Berembang dan Kg Plentong Pasir Gudang Johor adalah dibawah umno.

Dato Dr Harun Din, Dato Ismail Kamus, AlMarhum Dato Ishak Bahrum diburu macam penjenayah kerana hendak menyampai agama ketika Selangor di bawah umno. Adakah laporan Lim Guan Eng di Pulau Pinang tutup surau sejak memerintah Pulau Pinang

Hakikat yang berlaku umno yang serah kerusi majoriti melayu kepada bukan Melayu. Contohnya Parlimen Bukit Gantang 2004 Dr Lo Lo Pas lawan Tan Lian Hoe (BN) kemudian tahun 2008 Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman PAS, Parlimen Tanjung Malim Mohd Azman Marjohan PKR lawan Ong Ka Chuan (MCA), Dun Pasir Panjang Datuk Seri Haji Nizar PAS lawan Dr S Vasan (MIC).

Malah dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini adalah sebahagian contoh yang dikhianati oleh parti Umno yang menjadi kekasih Tan Seri Harussani.

PAS menyeru kepada ahli Umno yang ikhlas dan sayangkan agama, bangsa dan negara gunakanlah akal yang Allah berikan untuk buat keputusan supaya keluar Umno dan bersama-sama PAS yang sedang bersama membentuk pemetaan politik baru bersama-sama Pakatan Rakyat.

Ingatlah Islam selamat, Melayu selamat, bangsa lain selamat, negara pun selamat. Kalau Melayu selamat belum tentu Islam dan negara akan selamat.