Pages

Thursday, June 10, 2010

Hutang k'jaan pusat RM405.1b

Hutang k'jaan pusat RM405.1b
Jun 10, 10 1:48pm
Jumlah hutang kerajaan Persekutuan dijangka berjumlah RM405.1 bilion atau 52. 9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2010.

Kira-kira 96 peratus daripada jumlah hutang berkenaan dibiayai melalui sumber dalam negeri.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri berkata kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 5.3 peratus pada 2010 berbanding tujuh peratus pada 2009.

"Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada tahap yang mampan dan memastikan akaun semasa kerajaan sentiasa berada dalam lebihan," demikian menurut EPU dalam Laporan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang dikeluarkan hari ini.

Wednesday, June 9, 2010

Politik masjid di Kelantan

Politik masjid di Kelantan
Wan Nik Wan Yussof

Menerusi tulisan saya sebelum ini bertajuk “Politik hendaklah selari dengan Islam” adalah sarat dengan realiti politik Islam dan sebenarnya berlaku dalam masjid. Maka, berani saya hujahkan bahawa salah satu ciri politik Islam ialah wujudnya politik masjid. Ia cukup berbeza dengan politik sekular yang tidak menerima amalan politik berlaku di gereja. Oleh sebab itu, tiada sebab bagi umat Islam meniru-niru cara-cara politik sekular yang memakai prinsip politik suku, agama suku. Maka, PAS sebagai parti Islam adalah bersih dari saki-baki amalan politik sekular. Melainkan parti Umno yang masih pekat-berdene (kejap melekat) dengan lendir-lendir sekular-kebangsaan-pragmatik (SKP) warisan penjajah Inggeris!

Politik masjid berlaku di Kelantan

Adakah masih kental fahaman Umno di Kelantan, sedangkan telah 20 tahun rakyat Kelantan dibayangi dengan politik Islam acuan PAS? Menjawab persoalan ini, memang ada sebahagian kelompok Melayu yang berfahaman politik SKP terlekat pada puak Umno Kelantan. Maka ia dilihat masih pekat melekat dengan lendir itu. Justeru itu, kalangan kelompok itu masih berlaku isu penolakan politik masjid, meskipun seketika lalu lendir SKP agak jumud dan beku. Persoalannya, kerana apa baru sekarang muncul pula isu politik masjid di Kelantan? Sehingga sanggup mengupah seorang yang mendakwa pengasas pondok menghujahkan (Mingguan Malaysia, 16 Mei 2010) tiada wujud politik dalam Islam (termasuk di masjid).

Sebenarnya, ia ada hubungannya dengan kepentingan politik Umno Kelantan sendiri. Tidak lain, melainkan ‘katak berbunyi (berkokok) bila nak hujan’ dan mungkin ada kaitannya dengan peruntukan wang ehsan RM20 juta pihak kerajaan Pusat kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan atau Umno Kelantan! Kononnya mereka (pemimpin Umno) akan berlaku adil untuk mengagihkan peruntukan itu tanpa sentimen politik. Soalnya, adilkah wang itu disalur kepada pihak yang tidak sah? Kerana pihak yang sah ialah Kerajaan Negeri Kelantan bukannya Perhubungan Umno Kelantan. Jelas sekali, dalam bab wang ehsan mereka tidak menghayati tuntutan dalam ceramah (khutbah) Jumaat, iaitu ‘perintah Allah agar berlaku adil di dalam berbuat kebaikan’ sesama Islam. Itulah balanya memisahkan politik dari masjid. Mereka (puak Umno) sudah tidak lagi memakai perintah ceramah Jumaat dalam tindak-tanduk politik mereka. Benarlah dakwaan umum, sesungguhnya mereka itu pengamal politik suku agama suku!

Membangun Bersama Islam

Dalam perkembangan politik tanah air, parti PAS pernah menyertai BN pada tahun 1974 sehinggalah PAS ditendang keluar tahun 1977. Hasil daripada itu, PAS bengah dan maju ke depan membina acuan baru bertegas dengan politik Islam. Berkatnya, PAS telah meraih semula keyakinan rakyat Kelantan dengan memenangi pilihan raya 1990 dan kembali semula memerintah negeri.

Bertolak dari tahun 1990 hingga sekarang, PAS di Kelantan telah meletakkan dasar Membangun Bersama Islam sehingga berjaya mentadbir dan menguruskan pembangunan negeri. Teras Membangun Bersama Islam adalah ubudiah, masuliah dan itqan (UMI). Teras ubudiah adalah mendidik rakyat Kelantan memahami peranannya sebagai hamba Allah yang diciptakan semata-mata untuk memperhambakan diri kepadaNya. Teras masuliah pula adalah mengajar rakyat Kelantan komited dengan tanggungjawab (akauntabiliti) yang dipikul dan melaksakan tanggungjawab itu kerana Allah SWT dan meyakini setiap tanggungjawab itu akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Sementara teras itqan adalah menuntut semua rakyat Kelantan diingatkan agar melakukan tugas secara berkualiti melalui budaya ketekunan, komitmen dan kesungguhan serta fokus dalam bekerja, tanpa penyelewangan atau sikap sambil lewa.

Kesemua teras UMI ini telah dipacu dengan baik menerusi pelbagai program kerajaan Negeri Kelantan. Salah satunya adalah menerusi masjid dan surau yang merupakan medan ilmu lokal para guru agama dan pendakwah menyampaikan kefahaman politik dan cara hidup Islam.

Kesan UMI

Kesan yang jelas amalan UMI iailah berlaku keluhuran PAS mengamalkan pentadbiran berteras agama (UMI) dibuktikan dengan tindakan kerajaan Negeri Kelantan menarik akaun kerajaan dari bank riba kepada Bank Islam dan mewujud perhotelan Islam yang tanpa alkohol, menutup semua premis judi yang dilesenkan oleh pemimpin Umno, mempamerkan syiar agama dengan peraturan wanita menutup aurat dan memberi hak kepada semua kaum termasuk Orang Asal. Berikutnya, melaksanakan asas-asas perumahan Islamik mengandungi tiga bilik, mengutamakan kebajikan warga emas bagi semua kaum melalui skim kifalah, merakyatkan ekonomi negeri melalui skim Ladang Rakyat dan bantuan pembangunan kepada usahawan wanita. Mengawal hiburan agar selari dengan batasan agama dengan memperkenalkan enakmen kawalan hiburan, menyediakan hiburan nasyid alternatif dan memajukan pembinaan budaya hiburan Islamik sehingga melahirkan dikir barat dakwah, dikir hijrah dan dikir halaqat.

Sebenarnya, kekuasaan politik atas nama politik Islam telah membolehkan banyak program pembangunan Islam yang memberi kesan kebaikan untuk semua kaum di Kelantan. Misalnya, dengan pembinaan Masjid Keputeraan Sultan Ismail Petra di Rantau Panjang bercirikan seni bina masjid Cina di Beijing turut mendekatkan hubungan kaum di Kelantan. Malah mengingatkan pula kepada kegemilangan betapa umat Islam di Cina adalah umat yang lebih awal menerima seruan Islam berbanding orang Melayu. Ia adalah untuk menobatkan kehebatan Islam.

Mendekatkan Islam dengan DAP

Paling menarik di sebalik kesan politik Islam dibawa oleh PAS di Kelantan, ia telah berjaya menghapuskan salah fahaman dan Islamfobia DAP kepada Islam dan politik Islam. Meskipun, seketika awal-awal mendekati DAP, PAS diserang dan Islam dihina oleh pemimpin DAP. Sehingga ada kalangan pemimpin mereka yang menentang hangit model Negara Islam, hukum hudud dan terlalu prejudis dengan keadilan pentadbiran Islam di Kelantan.

Sekarang, salah faham dan Islamfobia hampir tiada kedengaran lagi, malah tidak kurang pula kalangan pemimpin dan wakil rakyat DAP sudah pandai berkalimah Arab, menghafal al-Quran, menyebut kalimah al-Quran dan mengiktiraf kehebatan sejarah Islam di dalam ceramah-ceramah mereka. Hinggakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng selaku Setiausaha Agung DAP (di negeri majoriti pengundi Cina) telah berani mengisytiharkan model kepimpinan Umar Abdul Aziz sebagai ikutan pentadbirannya. Sehingga Lim turut melontarkan persoalan kepada pihak Umno yang tidak mahu menerima realiti, bahawa pentadbiran Islam mempunyai kebaikan yang boleh ditiru dan diamalkan oleh sesiapa sahaja.

Paling terbalik-kot pula, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku Mursyidul Am PAS seorang tokoh Islam yang nazari (seorang yang teguh pendirian agama – fundamental agama) sering dinanti-nantikan oleh masyarakat Cina dan India agar dapat hadir di dalam majlis ceramah mereka. Malah setiap kali kehadiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan disambut dengan standing ovation (sambutan berdiri dengan iringan tepukan hormat) oleh hadirin kaum Cina dan India. Sedangkan kehadiran beliau bukan untuk dinner, sebaliknya menyampaikan ucapan penyatuan rohani dengan selalu mengingatkan kepada titik penyatuan manusia bermula dari satu keturunan, yakni Nabi Adam AS lalu membaca ayat al-Quran (surah An-Nisa’3:1) bermaksud, “Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada tuhan kamu, yang telah menciptakan kamu dari seorang manusia (bernama Adam). Dan daripadanya Allah menciptakan isterinya (bernama Hawa’), Allah memperkembang biakkan (keturunan dari jenis) laki-laki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah, yang dengan (mempergunakan) namanya, kamu saling meminta satu sama lain. Dan (peliharalah) hubungan persaudaraan dan kasih sayang (di antara sesama kamu). Sesungguhnya Allah selalu memantau dan mengawasi (segala tindak tanduk dan aktiviti hidup) kamu.” Apakah senario ini semua bermakna PAS telah menggadai maruah dan meninggalkan pinsip Islam di tepi longkang?

Natijahnya, penerimaan tersebut sudah tentu memberi untung kepada politik Islam, tatkala sebahagian masyarakat Cina dan India serta Siam sudah berani mendekati PAS melalui penubuhan Kelab Penyokong PAS. Sekarang kelab itu (dilancarkan pada 23 Mei lalu) telah diiktiraf sebagai sayap parti dan bertaraf Dewan Himpunan Penyokong PAS (selesa disebut Dewan Penyokong). Ia menguatkan lagi sayap PAS kepada empat sayap.

Sesungguhnya, amat seni politik Islam ini. Kebaikannya telah menarafkan peranan Dewan Penyokong bersama-sama Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat memikul tugas politik Islam. Maka, pendekatan PAS selama ini (bermula dengan kepimpinan arwah Ustaz Datuk Fadhil Nor dan sejak dipakai tema PAS untuk Semua), sebenarnya PAS telah sedia bertoleransi, bertegas dan mesra kepada semua kaum adalah suatu pendekatan berpandukan kejayaan Nabi Muhammad SAW tatkala mendikrikan Sulh Hudaibiah dan mengikat perpaduan menerusi al-Dustur al-Madinah. Apakah pendekatan ini melayakkan PAS menjadi boneka kepada DAP atau KeADILan?

Sesungguhnya, PAS terus maju dengan misi politik-dakwah dan kental menghadapi segala cabaran. PAS di Kelantan yang memerintah sejak dua dekad lalu terus istiqamah menjadikan institusi masjid, rumah Allah sebagai pusat paling sesuai menyampaikan mesej pembangunan politik-dakwah. Hasilnya, rakyat Kelantan menerimanya tanpa prejudis lagi. Demikianlah senario politik masjid di Kelantan.

Hanya Allah SWT maha mengetahui setiap apa yang diciptakan-Nya dan Dia maha bijak merencana, dan segala pengetahuan dan perencanaan-Nya adalah mengatasi pengetahuan dan perencanaan manusia.

----------------------------
Penulis adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam.

Respon kepada maklum balas Jais
http://www.khalidsamad.com

Pada mulanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak JAIS kerana kerana di dalam kesibukan mereka memikul beban amanah ummat Islam negeri Selangor, telah berkesempatan untuk mengambil masa terluang dan sudi menjawab pertanyaan saya.

Saya sempat membaca respon rasmi yang disediakan oleh pegawai perhubungan awam JAIS dan juga respon ringkas dari Dato’ Khusrin sendiri.

Saya akan menjawabnya serentak kerana saya yakin bahawa pada hakikatnya kedua-duanya adalah pada dasarnya dari Pengarah JAIS sendiri.

Pada awalnya saya ingin menyentuh persoalan mengapa kononnya saya ‘menyerang JAIS’. Sebab utama adalah kerana saya melihat JAIS, dalam banyak perkara, mengambil kesempatan untuk menyerang Pakatan Rakyat.

Dalam isu kalimah Allah dan tazkirah TGNA di sebuah Masjid di Hulu Selangor sebagai contoh, Pengarah JAIS mengambil kesempatan untuk menyuarakan pendirian yang jelas bertujuan untuk menjejaskan imej PR di kaca mata ummat Islam di negeri Selangor.

Walaupun tidak menyebut PR atau mana-mana parti komponennya, ianya adalah jelas bahawa serangan berkenaan mempunyai motif politik.

Dalam soal ini, Dato’ Khusrin menjadi sasaran kerana kenyataan-kenyataan tersebut adalah dari beliau. Ada pihak yang menyebut bahawa beliau hanyalah seorang PTD yang menjalankan tugas sebagai seorang pegawai kerajaan.

Saya yakin seorang pegawai yang profesional, yang menjalankan tugasnya tanpa mempunyai agenda politik, tidak akan bertindak sedemikian rupa dalam kedua-dua isu berkenaan. Sebagai contoh juga, seorang pegawai PTD yang benar-benar ‘neutral’ atau tidak berpihak, akan menjelaskan bahawa di negeri Selangor terdapat Enakmen Bukan Islam yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam berhubung agama mereka demi mengelakkan kekeliruan.

Inilah sebenarnya kedudukan Enakmen tersebut. Ianya bukan pengharaman mutlak untuk semua keadaan tetapi pengharaman yang dikhususkan untuk penggunaan tertentu. Kenyataan tersebut akan dikeluarkan oleh seorang pegawai yang profesional, secara rasmi tanpa berperanan mengapi-apikan emosi rakyat yang beragama Islam 'yang mudah dikelirukan'.

Sebenarnya, tanggapan bahawa ummat Islam mudah dikelirukan adalah tanggapan JAIS sendiri dan inilah asas kepada perlaksanaan Enakmen berkenaan.

Sebaliknya, JAIS turut terlibat dalam program mengapi-apikan kemarahan ummat Islam dengan keterlibatan secara tidak rasmi dalam demonstrasi dan pemasangan kain rentang “Kalimah Allah hanya untuk orang Islam” di masjid-masjid.

Ini juga jelas boleh dilihat dan dinilai oleh mana-mana pihak sebagai tindakan politik dan tidak profesional serta mendedahkan pendirian politik Pengarah JAIS itu sendiri.

Kedua, dalam soal tazkirah yang diberikan TGNA. Seorang pegawai yang professional juga akan pada mulanya meminta laporan dari pihak yang membuat aduan berhubung isi kandungan tazkirah yang disampaikan. Adakah benar TGNA bercakap berhubung politik kepartian dan berkempen dalam Masjid, mencela UMNO dan meminta jemaah mengundi PR?

Siasatan akan dibuat sebelum mengeluarkan kenyataan yang bertujuan menempelak PR dalam suasan Pilihanraya Kecil yang sudah pasti mempunyai kesan politiknya. Pada hakikatnya TGNA adalah seorang Ulama’ dan kedudukan beliau sebagai seorang Ulama’ tidak terbatal dengan keterlibatan beliau dalam arena politik.

Maka, sekiranya tazkirahnya berbentuk keagamaan maka sudah pasti tiada kecelaan pada tindakan beliau. Ini lebih-lebih lagi apabila diketahui umum bahawa TGNA pada awalnya hanya datang untuk menunaikan solat fardhu di Masjid berkenaan dan diminta memberi tazkirah oleh jemaah yang hadir. Tidak wajar seorang Ulama’ menolak pelawaan untuk mengajar dan berkongsi ilmunya apabila dipohon sedemikian.

Namun, sekali lagi Dato’ Khusrin mengambil kesempatan untuk menempelak tindakan pimpinan PR tanpa melakukan penyiasatan terlebih dahulu. Ini adalah kerana ianya dilihat sebagai peluang keemasan untuk membuktikan kesetiaan beliau kepada pimpinan lama.

Maka itulah sebabnya beliau diam berhubung sepanduk Solat Hajat dan Bacaan Yasiin untuk Kamalanathan di Masjid di Hulu Selangor. Teguran secara terus dari beliau dalam soal ini akan memburukkan BN, maka seharusnya beliau diam.

Dalam soal ‘Judi Bola’ respon JAIS adalah ianya isu Nasional maka tiada kena-mengena dengan mereka. Ini merupakan hujjah kosong. Semua rakyat Malaysia tahu bahawa polisi Nasional akan mempunyai kesan terhadap semua Negeri.

Tidak mungkin seorang Pengarah yang telah lama berkhidmat dalam perkhidmatan awam tidak faham atas implikasi kelulusan ini? Namun, oleh kerana ianya polisi yang datangnya dari BN, maka Dato’ Khusrin seperti kebiasaanya membisu seribu bahasa.

Jika ingin dilihat dari sudut ‘keterlibatan’ JAIS dalam sesuatu isu, isu kalimah Allah yang dibicarakan di WP. Mengapa JAIS terlibat?

Begitu jugalah dalam isu Life line for Gaza atau LL4G yang merupakan isu International. Walaubagaimanapun saya mengucapkan tahniah kepada JAIS, kerana program tersebut diadakan.

Jika mahu mengunakan hujjah ‘bidang kuasa’, maka apa halnya JAIS mahu terlibat sama? Tetapi oleh kerana ianya relevan untuk setiap Muslim, termasuk Muslimin di Selangor, maka JAIS wajib terlibat. Maka begitu jugalah dengan JUDI.

Hujjah bahawa Kerajaan Negeri dan PBT juga ada peranan, itu kita semua tahu. PBT dan Kerajaan Negeri pun tahu dan mereka akan bertindak. Bagi mereka tindakan mereka, bagi JAIS, tindakannya dengan mengikut kapasiti masing-masing.

Hanya saya tumpu pada JAIS kerana JAIS begitu lantang dalam isu TGNA, kalimah Allah dan usaha memenjarakan Dr. Asri tetapi kelu membisu dalam isu judi.

Saya juga sudah lama ingin bertanya kepada Dato’ Khusrin, nampak dari gaya usaha yang begitu hendak ‘mengenakan Dr. Asri’, adakah perkara tersebut lebih dipentingkan oleh pihak beliau dari sebarang usaha membantah Judi Bola?

Betulkah Awlawiyyatnya Dato’? Apa pandangan masyarakat bukan Islam dan ‘ummat Islam yang mudah dikelirukan’ (sepertimana perkiraan JAIS) dengan tindakan Dato’ ini? Dr. Asri merupakan seorang bekas Mufti Negeri Perlis dan juga seorang Pensyarah Universiti di dalam Fakulti Islam hingga ke hari ini.

Sebagai seorang pegawai berkelulusan bukan agama, yang ilmu agama sudah pasti jauh terhad berbanding Dr. Asri, tetapi Dato’ begitu tekad hendak memenjarakan beliau dan pada masa yang sama diam membisu berhubung isu Judi Bola! Bertambah kelirulah ummat Islam dan juga yang bukan Islam.

Inilah yang saya nyatakan berkali-kali. Biarlah Pengarah JAIS seorang yang kelulusan agama. Paling kurang orang tersebut akan tahu menghormati Ulama’.
Walaupun ada perbezaan pendapat dan pendirian, dia akan menghayati dasar ‘adaabul ikhtilaaf’ dan akan tahu juga ‘awlawiyyat’. Ini sudahlah kurang dari segi ilmu agama, berkepentingan politik pula!

Pegawai Perhubungan JAIS (atas arahan Pengarahnya saya pasti) bertanya pula, “bagaimana dengan Judi yang lain? Kenapa Khalid Samad mengecam Judi Bola sahaja”? Hmmm, pelik bercampur ajaib. Adakah mereka tidak sedar bahawa soalan sebegini bagaikan meludah ke langit dan jatuh ke batang hidung sendiri?

Ingin tanya saya pula berhubung judi lain yang wujud di dalam masyarakat? Sedangkan beliau sendiri yang merupakan Pengarah JAIS jauh lebih lama dari saya yang baru menjadi Ahli Parlimen penggal ini. Saya tidak pasti bagaimana mahu menjawab pertanyaan berkenaan, tetapi mungkin ianya wujud kerana Dato’ tidak membantahnya dari dululah kot?

Dan pada masa yang sama tidak pula mendidik ummat Islam Negeri Selangor supaya menghayati Islam dengan mementingkan adanya kuliyah di setiap Surau dan Masjid dengan memberikan tauliah kepada semua yang layak tanpa mengambil kira mereka PAS atau UMNO.

Sehinggakan orang macam TGNA beri tazkirah pun mahu dibantah, bagaimana usaha kesedaran Islam akan berjaya? Sehinggakan seorang bekas Mufti dilayani bagaikan penjenayah, macam mana bumi Selangor ingin mendapat berkat sepenuhnya?

Sememangnya semua jenis judi adalah haram, tetapi dengan adanya beberapa jenis tidak merupakan alasan untuk memperkenalkan jenis yang lain. Yang telah lama wujud dan menjadi kebiasaan di dalam masyarakat perlu ditangani secara hikmah dan bijaksana, seperti apa yang disebut oleh Ulama di dalam tulisan berhubung Fiqhud Dakwah, iaitu proses ‘tadarruj’ atau berperingkat-peringkat.

Perumpamaannya adalah seorang Doktor yang merawat pesakitnya; penyakit yang sedia ada dirawati, tetapi penyakit yang baru jangan sekali-kali dibenarkan berjangkit. Kalau disebut dia dah sakit, maka biarlah sahaja berjangkit penyakit lain, itu kata-kata Doktor gila. Saya kira, ini merupakan perkara asas yang sepatutnya tidak perlu saya terangkan kepada seorang Pengarah Jabatan Agama Islam.

Hujjah “kenapa tidak ditegur judi lain” memang dilaungkan oleh UMNO dan yang sekapal dengannya. Mereka ingin mengatakan bahawa kononnya PR hanya ingin mengambil kesempatan dari keputusan pimpinan mereka supaya rakyat marah dengan UMNO/BN.

Itulah sebabnya hanya Judi Bola sahaja yang dibantah kata mereka. Dalam erti kata lainnya, jangan dengar bantahan yang dibuat oleh PR, terus sokong sahaja Judi Bola!

Dalam kitab ‘Fiqh Al-Awlawiyyat’, Dr. Yusuf Qardawi menceritakan kisah Umar Abdul Aziz yang mengambil alih jawatan Khalifah Bani Umayyah. Mereka yang sebelum beliau telah membenarkan banyak kerosakan dan penyelewengan berlaku dalam pemerintahan Bani Umayyah.

Maka apabila Umar Abdul Aziz mengambil alih, beliau ingin membawa perubahan ke arah kebaikan. Suatu hari anaknya menegurnya kerana dilihat proses perubahan yang dilakukan ayahnya terlalu perlahan. Umar Abdul Aziz menjawab,

“Jangan gelojoh wahai anakku. Sesungguhnya di dalam (penurunan ayat) Al-Quran, Allah mencela (meminum) arak dua kali sebelum ianya diharamkan pada kali ketiga. Saya khuatir, sekiranya saya meletakkan kebenaran seluruhnya serentak ke atas manusia, manusia akan menolak keseluruhannya. Dan itu akan merupakan fitnah yang lebih besar.”


Dalam kisah ini terdapat pengajaran yang penting bagi yang mengambil-alih kuasa dan ingin membawa perubahan.

Lagipun, judi ini kononnya dibenarkan untuk orang bukan Islam. Sekarang orang bukan Islam sendiri membantah ianya diluluskan (tidak termasuk Vincent Tan lah), tidak mungkin Dato’ Khusrin hendak berdiam diri sahaja?
Orang bukan Islam pun sudah membantah, mana mungkin sekadar menjawab, “Kalau orang Islam yang terlibat, JAIS akan tangkap”! Gandingan yang cantik. Kerajaan BN mengeluarkan lesen judi, JAIS yang ala-BN tangkap pejudi Islam! Mendidik ummat Islam bukan dengan tangkap sahaja wahai Tuan Pengarah. Yang lebih penting, menerangkan, menjelaskan, mengajar, menyeru dan memberi contoh yang baik.

Saya rasa, peristiwa ini hanya menambahkan keyakinan saya dan kebanyakkan ummat Islam di negeri Selangor bahawa insyaAllah Pengarah JAIS yang baru, yang lebih berilmu dan tidak berkepentingan politik adalah amat sangat diperlukan dengan kadar segera.

YB Khalid Samad,
Ahli Parlimen Shah Alam.

Tuesday, June 8, 2010

Bersedia dengan fasa politik baru

Bersedia dengan fasa politik baru
http://peguampas.blogspot.com/

Ironis berlaku di dalam mana-mana perjuangan apatah lagi perjuangan Islam. Pas adalah parti Islam dan logiknya orang Islam sepatutnya lebih mudah menerima mesej Islam yang Pas bawa. Namum ironisnya kini orang bukan Islam agak selesa menerima mesej Islam yang dibawa oleh Pas. Dari Lajnah Antara Kaum kini Pas melangkah dengan lebih yakin apabila menaiktarafkan lajnah tersebut kepada status Dewan – Dewan Perhimpunan Penyokong Pas. Bukankah satu yang ironis Pas boleh disokong oleh bukan Islam dalam keadaan Umno yang bermajoritikan orang Islam bermati-matian menentang Pas dari segenap segi.

Apabila Pas menentang judi bola ironisnya ahli-ahli Dewan Perhimpunan Penyokong Pas yang bukan beragama Islam tidak membantah pendirian Pas tersebut malahan menyokong sepenuh hati. Tidakkah suatu yang pelik apabila mereka yang bukan beragama Islam di dalam PAS boleh faham kebobrokan judi dan menentangnya sebaliknya Umno sebagai parti yang bermajoritikan orang Islam tidak gentar sama sekali menghalalkan judi yang Allah haramkan secara qat’ie.

Pejuang Islam yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran pasti melihat ironi dalam kisah Nabi Yusuf a.s.. Nabi Yusuf a.s adalah anak yang paling disayangi oleh bapanya Nabi Yaakub a.s. Apabila anak disayangi oleh bapa ia adalah satu perkara yang baik namun ironisnya perkara yang baik itu mengakibatkan Nabi Yusuf ingin dibunuh dengan dicampakkan ke dalam telaga.

Berada di dalam kegelapan di dalam telaga selama beberapa hari adalah perkara yang buruk namum ironisnya perkara buruk itu mengakibatkan baginda berjaya berada di istana raja. Berada di istana raja pada zahirnya adalah suatu yang baik namun ironisnya perkara yang baik itu membawa Nabi Yusuf a.s ke dalam penjara. Berada di dalam penjara adalah suatu perkara yang buruk namun ironisnya perkara yang buruk itu membawa Nabi Yusuf a.s kepada jawatan Menteri Kewangan Mesir sekaligus berjaya mentadbir ekonomi Mesir dengan cemerlang.

Inilah hakikat dan tabiat perjuangan. Ironi di mana-mana. Ia kerja Allah. Sukar kadangkala untuk dirasionalkan.

Apabila Pas kini mula disokong dan didokong oleh rakyat bukan Islam ia menuntut satu persiapan dan kesedian untuk para pemimpin dan ahli Pas berada di fasa baru perjuangan. Pemimpin Pas yang selama ini mungkin lebih selesa berbicara dengan kelompok orang Islam sahaja kini harus menyiapkan dirinya memasuki fasa dan politik baru ini. Fasa baru ini bukan menuntut Pas menggadai prinsip perjuangan atau bersikap apologetik . Tidak . Tidak sama sekali. Apa yang dituntut adalah kefahaman yang mendalam dan kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej Islam dan merangka strategi-strategi baru perjuangan. Mereka yang tidak bersedia dengan persiapan ini dikhuatiri akan menjadi penghambat kepada perkembangan perjuangan Pas kerana amat mudah untuk menolak satu perkara yang baru dalam keadaan seseorang itu sudah selesa dengan sesuatu yang lama.

Sebagai pejuang Islam kita patut merasa bersyukur kerana Islam itu sendiri sarat dengan petunjuk dan panduan kepada kita. Ertinya kita tidak perlu meraba-raba mencari panduan dan petunjuk. Menekuni seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat memberi taujihat yang jelas kepada kita bahawa motto “ Islam adalah rahmat seluruh alam” berjaya ditonjolkan secara praktikal oleh Rasulullah s.a.w dan mereka yang dididik oleh Baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat berjaya menonjolkan ruh toleransi ( tasamuh ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim . Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka berjumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan mereka ) iaitu Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur .

Lihatlah ruh tasamuh ( toleransi ) yang Rasulullah s.a.w tonjolkan. Kita lihat pula kisah toleransi Al-Faruk ( Syaidina Umar r.a ) . Seperti yang kita tahu di dalam pemeritahan Islam zakat tidak diwajibkan ke atas orang bukan Islam . Sebagai ganti mereka bertanggungjawab membayar sejenis cukai yang dipanggil jizyah. Bagaimanapun jizyah tidak diwajibkan ke atas wanita , kanak-kanak, orang miskin dan mereka yang tidak mampu. Kalimah jizyah ada dinyatakan di dalam Al-Quran.

Di zaman Syaidina Umar terdapat golongan bukan Islam iaitu golongan Kritian dari Bani Thaglib yang setuju membayar cukai sepertimana zakat yang dibayar oleh orang Islam namun mereka tidak setuju dengan kalimah jizyah. Malahan mereka sanggup bayar berganda asalkan tidak digunakan kalimah jizyah. Umar sebagai seorang yang faqih bersetuju tidak menggunakan kalimah jizyah kepada golongan Kristian Bani Taghlib tersebut dan menerima bayaran cukai yang mereka bayar . Umar berkata “ mereka ini ( golongan Bani Taghlib ) ini golongan yang tidak faham, mereka bersetuju dengan makna tetapi menentang nama !! ( lihat m/s 14 Kitab “Al-Aqaliyyat Al-Dinniyyah Wa Al-hallu Al-Islami Karangan Yusuf Al-Qaradawi )

Kesedian Umar tidak menggunakan kalimah jizyah meskipun ia adalah kalimah yang wujud di dalam Al-Quran menunjukkan kebijaksanaan Umar dan sikap toleransi yang amat tinggi yang beliau tonjolkan.

Berdasarkan apa yang Syaidina Umar lakukan itu Sheikh Yusuf Al-Qaradawi menyatakan “ begitu juga sekiranya istilah Ahlul Zimmah menyusahkan golongan bukan Islam tiada masalah digugurkan kalimah itu dan cukup mengekalkan istilah rakyat sebagaimana yang digunakan sekarang “

Mohamed Hanipa Maidin,
AJK PAS Pusat.

Sunday, June 6, 2010

Razali Awang?who.........

Assalamualikum dan salam imtihan

Semoga medan imtihan yang sedang dilalui oleh kita semua membuka mata hati kita untuk memikirkan betapi peritnya kehidupan yang bakal dilalui oleh semua manusia sekiranya tidak beriman dengan Allah dan tidak mengikuti ajaran Nabi Muhammad pesuruh Allah.

Semua manusia tidak akan mengenali Allah dan Rasul melainkan dengan jalan mencari, memikir, belajar, berguru dengan mereka yang benar-benar mempunyai kebijaksanaan dalam ilmu yang membawa jalan mengenali Allah dan rasul.

Terlalu banyak tempat ilmu yang terkemuka dalam dunia ini, tidak perlu dinyatakan dalam ruang yang sempit ini.bagi mereka yang pencinta ILmu, mereka akan mencari dan terus mencari.

Sebentar tadi, pulang dari rumah sahabat di Hayyu sabek, seorang sahabat membuat you tube dari seorang manusia dari bangsa kita, kulit sama kita bercakap bunyi macam kita.

Teman-teman boleh rujuk you tube,">"Malaysia mengutuk keganasan kekejaman Israel Razali Awang".

"Eee tak teringin hantar anak gi Al Azhar...lebih baik hantar ke negara islam lain...UIA pun dah bagus".

Ayat di atas antara yang sahabat boleh baca dalam you tube razali Awang.Banyak lagi yang di perkatakan tentang Negara Mesir, tetapi yang ana naqalkan dari tulisan Razali Awang tu agak keterlaluan.

Bagi ana yang belajar di Universiti Al Azhar memang ana marah sekiranya sesiapan pun mengatakan begitu.Penulis tersebut hanya membuat kesimpulan yang dangkal dengan melihat beberapa sikap buruk yang beliau nampak dari perjalanan ke pintu Rafah untuk memasuki Gaza dan terus membut ulasan mengatakan Al Azhar juga termasuk tempat yang tidak bagus. "marah seekor nyamuk, kelambu juga dibakar".. Kalau macam terdapat dalam you tube Razali Awang, bukan lagi kelambu yang dibakar tetapi katil jugak dibakar.

Al Azhar adalah sebuah intitusi pengajian Islam yang terkenal dalam dunia.Di iktiraf oleh semua negara, tetapi ada juga manusia yang mengaku beriman dengan Allah dan berpegang ajaran nabi Muhammad sanggup mengatakan begitu tentang Al Azhar.

Sahabat semua tidak terkilan? ana rasa kalau us Hairul Nizam mat Hussain baca artikal tu lagi dia marah, lagi sedap kalau us Hairul mengomen sepatah dua kata.

Dalam khutbah jumaat yang lepas dimasjid Tantawi di hayyu zohaor, Dr Banyyumi memuji pelajar-pelajar luar khusus untuk para pelajar dari palestin yang belajar di Al Azhar, kerana mengaplikasikan apa yang dibelajar di al Azhar di tanah tumpah mereka Palastin.

Dalam you tube Razali Awang mengatakan UIA (Universiti Islam Antarabnagsa) pun bagus.Mengapa dia mengatakan begitu sedangkan Perdana Menteri Malaysia meluluskan JUDI BOLA.SEdangkan semua ummat islam tahu JUDI tu confirm tak baik, haram, dapat dosa sesiapa yang bergelumang dengan JUDI, apatah lagi mereka yang meluluskan JUDI.Tidak ada istilah lulus judi...judi memang tak lulus...buat laa kot mana pun memang tak lulus(halal)

Razali Awang, tak mahu menghantar anak ke Al Azhar kerana al Azhar berada dalam negara Mesir yang penuh dengan masalah tetapi sanggup menghantar anak ke UIA yang Perdana Menteri nya meluluskan lesen judi.Sahabat boleh baca dalam You Tube Razali Awang.

Ana amat berharap teman-teman yang sensitif dengan isi ini dapat memberi komen terhadap Razali Awang.

sekadar itu yang dapat ana luahkan untuk kali ini.berjuang dimedan yang kamu yakini.