Pages

Tuesday, June 8, 2010

Bersedia dengan fasa politik baru

Bersedia dengan fasa politik baru
http://peguampas.blogspot.com/

Ironis berlaku di dalam mana-mana perjuangan apatah lagi perjuangan Islam. Pas adalah parti Islam dan logiknya orang Islam sepatutnya lebih mudah menerima mesej Islam yang Pas bawa. Namum ironisnya kini orang bukan Islam agak selesa menerima mesej Islam yang dibawa oleh Pas. Dari Lajnah Antara Kaum kini Pas melangkah dengan lebih yakin apabila menaiktarafkan lajnah tersebut kepada status Dewan – Dewan Perhimpunan Penyokong Pas. Bukankah satu yang ironis Pas boleh disokong oleh bukan Islam dalam keadaan Umno yang bermajoritikan orang Islam bermati-matian menentang Pas dari segenap segi.

Apabila Pas menentang judi bola ironisnya ahli-ahli Dewan Perhimpunan Penyokong Pas yang bukan beragama Islam tidak membantah pendirian Pas tersebut malahan menyokong sepenuh hati. Tidakkah suatu yang pelik apabila mereka yang bukan beragama Islam di dalam PAS boleh faham kebobrokan judi dan menentangnya sebaliknya Umno sebagai parti yang bermajoritikan orang Islam tidak gentar sama sekali menghalalkan judi yang Allah haramkan secara qat’ie.

Pejuang Islam yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran pasti melihat ironi dalam kisah Nabi Yusuf a.s.. Nabi Yusuf a.s adalah anak yang paling disayangi oleh bapanya Nabi Yaakub a.s. Apabila anak disayangi oleh bapa ia adalah satu perkara yang baik namun ironisnya perkara yang baik itu mengakibatkan Nabi Yusuf ingin dibunuh dengan dicampakkan ke dalam telaga.

Berada di dalam kegelapan di dalam telaga selama beberapa hari adalah perkara yang buruk namum ironisnya perkara buruk itu mengakibatkan baginda berjaya berada di istana raja. Berada di istana raja pada zahirnya adalah suatu yang baik namun ironisnya perkara yang baik itu membawa Nabi Yusuf a.s ke dalam penjara. Berada di dalam penjara adalah suatu perkara yang buruk namun ironisnya perkara yang buruk itu membawa Nabi Yusuf a.s kepada jawatan Menteri Kewangan Mesir sekaligus berjaya mentadbir ekonomi Mesir dengan cemerlang.

Inilah hakikat dan tabiat perjuangan. Ironi di mana-mana. Ia kerja Allah. Sukar kadangkala untuk dirasionalkan.

Apabila Pas kini mula disokong dan didokong oleh rakyat bukan Islam ia menuntut satu persiapan dan kesedian untuk para pemimpin dan ahli Pas berada di fasa baru perjuangan. Pemimpin Pas yang selama ini mungkin lebih selesa berbicara dengan kelompok orang Islam sahaja kini harus menyiapkan dirinya memasuki fasa dan politik baru ini. Fasa baru ini bukan menuntut Pas menggadai prinsip perjuangan atau bersikap apologetik . Tidak . Tidak sama sekali. Apa yang dituntut adalah kefahaman yang mendalam dan kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej Islam dan merangka strategi-strategi baru perjuangan. Mereka yang tidak bersedia dengan persiapan ini dikhuatiri akan menjadi penghambat kepada perkembangan perjuangan Pas kerana amat mudah untuk menolak satu perkara yang baru dalam keadaan seseorang itu sudah selesa dengan sesuatu yang lama.

Sebagai pejuang Islam kita patut merasa bersyukur kerana Islam itu sendiri sarat dengan petunjuk dan panduan kepada kita. Ertinya kita tidak perlu meraba-raba mencari panduan dan petunjuk. Menekuni seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat memberi taujihat yang jelas kepada kita bahawa motto “ Islam adalah rahmat seluruh alam” berjaya ditonjolkan secara praktikal oleh Rasulullah s.a.w dan mereka yang dididik oleh Baginda s.a.w.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat berjaya menonjolkan ruh toleransi ( tasamuh ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan non muslim . Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian Najran.

Golongan Kristian ini telah bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka berjumpa Rasulullah s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan mereka ) iaitu Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu bersembahyang cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur .

Lihatlah ruh tasamuh ( toleransi ) yang Rasulullah s.a.w tonjolkan. Kita lihat pula kisah toleransi Al-Faruk ( Syaidina Umar r.a ) . Seperti yang kita tahu di dalam pemeritahan Islam zakat tidak diwajibkan ke atas orang bukan Islam . Sebagai ganti mereka bertanggungjawab membayar sejenis cukai yang dipanggil jizyah. Bagaimanapun jizyah tidak diwajibkan ke atas wanita , kanak-kanak, orang miskin dan mereka yang tidak mampu. Kalimah jizyah ada dinyatakan di dalam Al-Quran.

Di zaman Syaidina Umar terdapat golongan bukan Islam iaitu golongan Kritian dari Bani Thaglib yang setuju membayar cukai sepertimana zakat yang dibayar oleh orang Islam namun mereka tidak setuju dengan kalimah jizyah. Malahan mereka sanggup bayar berganda asalkan tidak digunakan kalimah jizyah. Umar sebagai seorang yang faqih bersetuju tidak menggunakan kalimah jizyah kepada golongan Kristian Bani Taghlib tersebut dan menerima bayaran cukai yang mereka bayar . Umar berkata “ mereka ini ( golongan Bani Taghlib ) ini golongan yang tidak faham, mereka bersetuju dengan makna tetapi menentang nama !! ( lihat m/s 14 Kitab “Al-Aqaliyyat Al-Dinniyyah Wa Al-hallu Al-Islami Karangan Yusuf Al-Qaradawi )

Kesedian Umar tidak menggunakan kalimah jizyah meskipun ia adalah kalimah yang wujud di dalam Al-Quran menunjukkan kebijaksanaan Umar dan sikap toleransi yang amat tinggi yang beliau tonjolkan.

Berdasarkan apa yang Syaidina Umar lakukan itu Sheikh Yusuf Al-Qaradawi menyatakan “ begitu juga sekiranya istilah Ahlul Zimmah menyusahkan golongan bukan Islam tiada masalah digugurkan kalimah itu dan cukup mengekalkan istilah rakyat sebagaimana yang digunakan sekarang “

Mohamed Hanipa Maidin,
AJK PAS Pusat.

No comments:

Post a Comment